UJIAN DALAM MENUNGGU KEMENANGAN.


إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِّثْلُهُ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَاءَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ
Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. - Ali Imran : 140


Dalam ayat di atas Allah gambarkan kehidupan ini bersilih berganti. Bagaikan roda yang berputar, adakala kita akan berada di atas dan dan adakala di bawah. Allah pergilir-gilirkan antara ujian dan nikmat, antara kekalahan dan kemenangan. Tidak semua hal yang berlaku itu kena dengan harapan kita. Kadang-kadang ia berlaku jauh menyimpang dari apa yang kita jangka. Itulah takdir namanya. Dan sebagai hamba, kita wajib menerima semua yang telah ditetapkan Tuhan ke atas kita.


Bila pandai menerima ketetapan yang telah berlaku, apa pun yang Allah lakukan, si hamba tetap mendapat Tuhan. Malaikat sangat pelik kepada hamba Allah yang tetap mendapat Tuhan walau apa pun yang dilakukan ke atasnya. Bila ditimpakan ujian ke atasnya dia akan sabar dan reda. Bila diberikan nikmat padanya dia bersyukur. Ertinya apa pun yang berlaku dia tidak putus dengan Tuhannya.


Kita sangat inginkan menjadi hamba yang disebutkan tadi. Tetapi apa yang berlaku pada diri kita iman turun dan naik. Ada saat terasa dunia bagaikan sedang berputar, kita terbalik bilamana impian tidak kesampaian. Dengan kelemahan kita, sampai sempat mempersoalkan keadilan Tuhan. Dan disaat mendapatkan kembali kesedaran dan kekuatan, kita mohon keampunan dari Tuhan kerana telah bersangka buruk dengan-Nya.


Indahnya kehidupan bila dipenuhi dengan warna suka dan duka. Jatuh dan bangun, pahit dan manis silih berganti. Bagaikan roda yang berputar, kita akan berada di atas dan di bawah. Tuhan maha adil. Tak selamanya dibiarkan kita berada di sana, kerana sesekali Dia kan membawa kita ke sini.



Tuhan, kami di sini kembali pada Mu, membawa kepingan hati yang hancur. Mengharapkan kekuatan dari Mu agar hati ini bisa kembali menyatu dan bertambah padu. Mana mungkin kami mampu untuk melayari lautan yang penuh gelombang, yang bila-bila masa saja kami akan hanyut dihempas badai tanpa bimbingan dari Mu. Engkau tahu itu bukan. Kerana itu, janganlah Engkau menjauh dari kami. Kami berjanji akan sanggup untuk menghadapi apa saja yang Engkau datangkan, namun Tuhan, tolonglah. Tetaplah bersama kami, agar kami tak berlama-lama jatuh di jurang dalam itu.

Namun, kami merasakan ibarat naik gelongsor di dalam meniti laluan orang roh ini. Setiap kali cuba naik, kami menggelongsor jatuh dan jatuh, lemah tak berdaya. Hingga akhirnya dibisikkan ke telinga satu suara yang sangat jelas dia berkata: "Rahmat Tuhan terlalu luas, kasih sayang-Nya mengatasi kemarahan-Nya." Bisikan tersebut memberikan nafas dan harapan baru. Rupanya itulah suara Abuya yang menyelamatkan muridnya.


Sukarnya melihat nikmat di dalam lipatan ujian. Padahal nikmat itu ada. Hanya kita yang buta kerana hati kita tidak pandai menilai dan menerima dengan apa yang Tuhan sajikan di hadapan kita. Hanya kerana kita merasa susah dengan ujian, kita sampai lupa betapa selama ini kita cukup dimanjakan Tuhan dengan limpahan nikmat-Nya. Untuk itu, biar untuk berapa kali pun diletakkan lagi di jalan ini, kami akan terus mencuba menapak ke hadapan demi menggapai cahaya yang sedang Engkau hulurkan. Kami tidak mahu lagi berpaling kepada kegelapan yang hanya akan mengheret jauh dari Tuhan kami,  sumber segala kekuatan.


Mendengar penjelasan Bonda Wasilah AR, padanya ada sedikit rasa lega. Rupanya Abuya masih menjanjikan peluang selamat kepada pengikut-pengikutnya, dengan syarat dia kuat dan taat. Kami berharap dan menagih janji Abuya itu, moga-moga tetap kuat dan taat hingga ke akhir hayat, supaya mendapat jaminan keselamatan dari Abuya.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?