PARA SAHABAT SUKA MENGAMBIL BERKAT.
“Roh-roh itu adalah tentera-tentera yang terlatih (siap untuk bertugas).”
Orang-orang roh di alam sana, mereka hidup dengan cara yang telah Tuhan tetapkan. Abu Ayub Al-Ansari, seorang sahabat yang mendengar hadis tentang pembukaan Kostantinopel, di tangan sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik tentera. Selepas kewafatan baginda saw, dia terus ke sana demi membenarkan hadis tersebut.Namun bukan dia orang yang dijanjikan untuk membukanya. Lalu dia meminta untuk dikebumikan di Kota Kostantinopel kerana ingin mendengar derapan kaki kuda dan tentera orang yang dijanjikan Rasulullah. Begitulah contoh bagaimana orang roh berperasaan. Begitu jugalah contoh para sahabat dalam mahu mengambil berkat. Begitu tinggi perasaan hamba para sahabat.
Para Ikhwan, mereka adalah orang-orang roh. Dididik untuk membesarkan apa yang disukai oleh Allah. Mereka berbuat apa pun kerana untuk membesarkan Allah, maka segala yang datang dari Allah itulah yang sangat dibesarkan daripada diri dan perasaan mereka sendiri.
Allah perintahkan kepada para mukmin agar mentaati Rasul dengan taat setaat-taatnya, dan untuk membenarkan kata-kata Rasul maka itulah yang diutamakan. Maka itu jugalah yang menjadi keutamaan para calon yang merebut gelaran ikhwan di akhir zaman.
Penilaian Ikhwan tidak sama dengan orang soleh. Ikhwan telah menjangkau kepada satu penilaian yang lebih halus dan terlalu tinggi.
حسنات الابرار سيات المقربين
“Kebaikan orang soleh kejahatan bagi muqarrabin.”
Ini bersesuaian dengan makam Ikhwan itu memiliki makam hati sahabat. Itulah sahabat akhir zaman yang digelarkan Ikhwan oleh Baginda Nabi saw.
Hubungan Ukhwah Islamiah telah ditunjukkan pada kebangkitan Islam pertama, contoh yang berlaku antara Muhajirin dan Ansar. Mereka yang ada isteri lebih, hendak dihadiahkan kepada sahabat Muhajirin, ketika awal penghijrahan mereka ke Madinah. Mereka ingin hadiahkan isteri yang paling cantik dikalangan isteri-isterinya. Begitulah kasih sayang yang telah diikat di dalam hati mereka. Begitu sekali berlaku Ukhwah Islamiah yang telah diceritakan oleh sejarah, sanggup korbankan sesuatu yang paling disukai.
Bagi kebangkitan kali kedua, akan berulang jalinan Ukhwah Islamiah yang luar biasa. Ianya berlaku kepada calon Ikhwan dan Asoib. Jika Allah perintahkan kepada para isteri agar mentaati suami dengan taat setaat-taatnya, maka itulah yang didahulukan. Sekiranya ketaatan terhadap suami itu termasuk berbaik-baik dengan madu dan menyayangi anak-anak madu seperti anak-anak sendiri, maka itu jugalah yang menjadi keutamaan para isteri yang sedang merebut gelaran Ikhwan di akhir zaman.
Bagi calon para Ikhwan, Ukhwah Islamiah adalah hubungan yang disyariatkan demi membesarkan perintah Allah dan Rasul. Ertinya, tidak mementingkan diri masing masing dan lebih mengutamakan orang lain. Sejarah telah memaparkan kisah di medan perang, ada sahabat yang membawa air untuk para sahabat yang cedera di medan perang. Terdengarlah suara sahabat meminta air. Ketika ingin memberinya air, terdengar pula suara sahabat lain meminta air, maka sahabat pertama yang meminta air menyuruhnya pergi kepada sahabat yang lain. Ketika sampai di situ, terdengar pula suara sahabat lain meminta air, maka sahabat yang kedua ini memintanya pergi ke sahabat yang ke tiga. Apabila sampai, sahabat yang ke tiga itu sudah syahid. Bergegaslah dia ke sahabat yang pertama, maka dia mendapati dia juga telah syahid. Teruslah dia ke sahabat yang ke dua, juga telah syahid. Syahidlah mereka dengan keadaan mengutamakan orang lain dari diri mereka sendiri. Para Ikhwan mereka adalah pejuang dan penyelamat. Mereka sanggup mengambil risiko untuk mengendalikan dunia, namun tetaplah menjadikan Tuhan adalah segala-galanya.
Oleh kerana para Ikhwan dididik untuk tidak membesarkan diri atau pentingkan diri masing-masing, melainkan berbuat kerana untuk membesarkan Allah, maka segala yang datang dari Allah itulah yang sangat dibesarkan daripada diri dan perasaan mereka sendiri. Allah perintahkan kepada para isteri agar mentaati suami dengan taat setaat-taatnya, maka itulah yang diutamakan. Menyayangi orang lain sama seperti menyayangi diri sendiri, maka itu jugalah yang menjadi keutamaan bahkan lebih menyayangi orang lain lebih dari diri sendiri yang merebut gelaran Ikhwan di akhir zaman.
Cabaran Ikhwan adalah lebih hebat berbanding ahli abid. Ahli abid hanya memberikan tumpuan kepada keintiman mereka dengan Tuhan tanpa menyibukkan diri dengan urusan dunia. Para Ikhwan kakinya berpijak di bumi hatinya dengan Tuhannya. Sedangkan mereka sangatlah sibuk dalam menguruskan dunia, tetapi hati terus diproses untuk intim dan rindu mendalam dengan Tuhannya. Ikhwan itu adalah orang roh. Orang roh, jiwanya hidup bersama Tuhan walaupun fizikalnya sibuk bersama manusia. Bila Tuhan dilupakan, itulah masalah yang lebih besar dari masalah yang lain.