KETAATAN ANAK KUNCI KEJAYAAN.
Ingatlah pesanan dari Sayidina Omar Al Khattab r.a.,
"Aku lebih takut pada dosa-dosa kamu daripada musuh-musuhmu, kerana bila kamu berdosa, Allah tidak akan menolong kamu lagi, maka terbiarlah kamu pada musuh-musuhmu."
Tuhan berikan kemenangan kepada tentera Tholut setelah tersaring mereka yang melakukan dosa dengan ujian-ujian yang telah diingatkan oleh Tholut sendiri kepada tentera-tenteranya.
Pada masa itu, Bani Israel meminta Nabi Samuel berdoa kepada Tuhan untuk dilantik seorang ketua (raja) di kalangan mereka, untuk memerangi Jalut yang telah menghalau mereka dari perkampungan mereka. Ditanya kepada mereka, jika difardhukan perang ke atas mereka, adakah mereka akan pergi berperang? Mereka katakan sanggup. Tetapi bila sampai arahan perang, ramai pula yang berpaling melainkan sedikit yang tinggal. Itulah sikap buruk yahudi.
Kemudian Nabi Samuel menyampaikan bahawa Allah SWT telah melantik Tholut, seorang rakyat biasa yang hanya bertani, serta tiada kekayaan menjadi raja mereka. Maka Bani Israel persoalkan mengapa Tholut dilantik, kerana merasakan beliau tidak layak kerana taraf yang berbeza. Sedangkan Allah telah kurniakan kebijaksanaan dan kekuatan pada Tholut. Mereka meminta bukti bahawa Tholut lebih layak menjadi ketua mereka.
Jadi didatangkan kepada mereka bukti iaitu Tabut iaitu peti kayu bersalut emas dengan dibawa Malaikat. Dalam riwayat lain mengatakan, di dalam peti itu terdapat gambar Nabi-Nabi dari Nabi Adam hingga yang terakhir, selain adanya cebisan-cebisan Kitab Taurat peninggalan Nabi Musa dan Nabi Harun, kasut dan tongkat Nabi Musa, Serban Nabi Harun serta sumpit. (Kerana itulah mereka sangat mengenali baginda s.a.w melebihi anak sendiri., jika berdasarkan riwayat ini dan dari sumber Al-Quran)
Mereka bersetuju Tholut menjadi pemimpin mereka. Maka Tholut membawa tenteranya seramai 100 000, termasuklah Nabi Daud yang masih kecil. Ketika itu musim panas, tentera-tenteranya kehausan dan meminta Tholut berdoa agar didatangkan air. Tholut memberitahu mereka akan temui sebatang sungai dihadapan nanti.
Tetapi Tholut berpesan, sungai itu adalah ujian Allah, sesiapa yang meminumnya dengan banyak maka dia bukanlah tergolong dalam golongannya, melainkan yang hanya meminumnya sekadar secebuk tangan. Lalu mereka temui sungai di antara Jordan dan Palestin. Akhirnya, mereka meminum air sungai itu sepuas-puasnya tanpa mengikut pesanan Tholut. Maka hanya 313 orang sahaja yang tinggal dan bersama-sama Tholut kerana ketaatan mereka.
فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُم بِنَهَرٍ فَمَن شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَن لَّمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ ۚ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ ۚ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لَا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ ۚ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ
Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". Al-Baqarah: 249
Setelah berehat, tentera Tholut meneruskan perjalanan menyeberangi sungai itu. Hanya yang mengikut pesanan itu sahaja yang melepasi ujian itu, sedangkan yang lain tinggal dan batalkan niat untuk berjuang di jalan Allah. Mereka takut dan keberatan kerana tujuan mereka berperang adalah untuk kerehatan dan kemewahan, jadi buat apa susah-susah berperang sedangkan mereka berada di tanah yang mengalir sungai.
Mereka yang kekal bersama Tholut tetap yakin walaupun bilangan mereka sedikit, sedangkan lawan mereka sangatlah ramai, ratusan ribu banyaknya. Dengan izin Allah SWT, mereka memenangi perperangan itu dan Nabi Daud telah berjaya membunuh Jalut.
Banyak pengajaran yang terdapat di dalam kisah ini, antara yang boleh disenaraikan ialah:
1. Tetap dan yakinlah dengan perintah dan ketentuan Allah. Seperti dalam kisah ini, Allah telah menetapkan Tholut sebagai pemimpin mereka. Sebagai orang yang beriman, seharusnya ketetapan itu diterima tanpa bantahan. Kisah ini juga janganlah tidak diyakini kebenarannya. Ambillah pengajaran daripadanya. Suatu perintah itu tentu ada hikmah yang tersembunyi.
2. Bersabarlah menunggu janji Allah. Banyakkan muhasabah dengan baiki diri, ambil minuman sekadar perlu, sekadar mengurangkan rasa haus.
3. Taatlah setaat-taatnya dengan apa yang sudah diarahkan oleh pemimpin yang hendak membawa kita kepada Tuhan.
4. Kelompok kecil yang sabar dan beriman dapat mengalahkan kelompok yg lebih besar.
Ketahuilah, kita tidak akan dapat melepaskan diri dari musuh hanya dengan menyalah-nyalahkannya. Bangunkanlah jiwa dengan taqwa, hiaskan diri dengan sinar wahyu dan ingatan-ingatan dari Nabi, lalu laksanakanlah Islam itu tanpa tunggu-tunggu lagi. Juallah seluruh dunia yang ada pada kita untuk menjayakan projek ini, supaya menjadi saham dalam kebangkitan Islam ke dua ini.
Kita takkan rugi dalam menunggu walau sesaat. Bahkan menunggu pun jadi ibadah, dapat pahala. Kalau mati dalam menunggu sudah dapat satu pahala. Jika direzkikan untuk bersama kemenangan, dapatlah dua pahala. Namun takkan rugi dalam menunggu. Islam takkan kalah-kalah lagi.