Ilmu Para Wali Untuk Semua Umat Manusia.

Ketika kedatangan Abuya ke Jordan, Abuya telah mendapat kawan, simpati, pengikut, dan murid dari kalangan penduduk tempatan. Mereka inilah yang memberikan sokongan dan dokongan kepada perjuangan Abuya di sana. Mereka terdiri dari pelbagai kabilah dan profesion. Salah seorang daripadanya adalah Syeikh Mustafa Abu Rumman, seorang rakyat tempatan dari penduduk asal Jordan.

Syeikh Mustafa adalah murid dan pengikut Abuya yang telah diijazahkan wirid oleh Abuya ketika Abuya ziarah ke sana. Sebelum bersama satu tarikat dengan Abuya, Syeikh Mustafa bertarikat Rifa'ie atau Rifa'iyah. Dia kini salah seorang imam yang juga pendakwah di salah sebuah masjid di ibu kota Amman, Jordan. Masjidnya sering dikunjung murid-muridnya dari seluruh negara Arab.

Sedikit sejarah tentangnya sebelum bertemu Abuya; ketika mudanya beliau adalah seorang tentera. Seperti pemuda yang lain jiwanya yang kosong sentiasa mencari pengisian. Hinggalah pada suatu hari dia didatangi seorang lelaki misteri yang membawanya ke majlis agama. Dan di situlah dia diijazahkan wirid tarikat Rifa'iyah. Lelaki yang membawanya hilang begitu saja tanpa jejak dan tanpa perkenalan.

Hinggalah pada suatu hari setelah sekian lamanya, dia didatangi lelaki misteri yang membawanya kepada tarikat Rifa'ie, membawanya kesatu majlis perhimpunan. Majlis itu terletak di sebuah hotel terkemuka di Jordan ketika itu. Dan di sana dia dan lelaki misteri itu berada dalam majlis ijazah wirid oleh seorang syeikh tarikat asing. Asing kerana syeikh itu bukan dari kalangan bangsa Arab walaupun wajahnya ada rupa Arab! Itulah dia Abuya, yang menjadi guru dan mursyid kepada Syeikh Mustafa hingga kini! Sekali lagi lelaki misteri yang membawanya ke majlis itu hilang dan pergi tanpa perkenalan.

Syeikh Mustafa sangat menghormati Abuya dan mereka saling hormat menghormati. Begitulah adab di dalam tarikat yang melahirkan akhlak yang mulia. Walaupun Abuya bukan bangsa Arab, namun Abuya sangat dihormatinya! Ini bukan perkara biasa kalau Abuya bukan biasa-biasa!

Abuya selalu dan sering berpesan padanya, supaya menjaga anak-anak Abuya. Pesanan gurunya itu sangat dipegangnya hingga kini.

Baru-baru ini dengan berkat guru mursyid yang dirindui, setelah sekian lama tak berhubung Allah hubungkan kembali ikatan yang suci ini. Syeikh Mustafa yang memulakan perbualan bersempena Maulid Nabi berkongsi berita gembira berkenaan sambutan Maulid Nabi yang disertainya. Sambil mendoakan satu sama lain, begitulah adab dan budaya yang menjadi amalan mulia.

Setelah berkongsi berita, Syeikh Mustafa berkongsi pesanan Abuya padanya. Pesanan dan amanat Abuya padanya yang dia jaga dan genggam hingga kini, iaitu menjaga keluarga Abuya dengan wirid dan minda Abuya. Walaupun jarang bertemu Abuya secara lahir, tetapi beliau sangat memahami minda Abuya dan akan menguatkannya dengan hujjah-hujjah dan dalil dari nas quran dan hadis serta ijmak ulama.

Kebenaran adalah satu rezeki. Tidak semua dikurniakan bersama kebenaran walaupun mengharungi pelbagai ujian demi mendapatkannya. Perjalanan masih jauh. Dan kerana ini apa yang berlaku sekarang ialah meneruskan amanat dan perjuangan Abuya. Menyalin dan mengamalkan minda Abuya dan berpegang teguh pada syariat Islam. Abuya seorang pejuang kasih sayang, kerana apa yang Abuya perjuangkan adalah warisan Nabi yang dipusakainya.

Menyimpan rahsia Abuya bersamanya, Syeikh Mustafa gembira mendengar keluarga Abuya yang kini sedang diuji berusaha membaiki iman diri dan keluarga. Katanya, sebuah perjuangan bermula dari diri dan keluarga. Dan Abuya yang dia kenal sangat mengutamakan iman diri dan keluarga, kemudian barulah berkongsi keimanan dengan manusia sejagat. Apalah ertinya dakwah sekiranya seisi rumah dengan kita tidak menerima dakwah kita malah menolaknya. Ia bukanlah kebenaran. Kerana kebenaran itu datang dari Tuhan, dan sifatnya sangat mengasihi dan dikasihi.

Katanya lagi, bilangan yang sedikit inilah yang lama dinantikan! Bilangan yang sedikit inilah sekiranya meneruskan perjuangan Abuya akan menyelamatkan kesemuanya. Kerana inilah asas dan akar umbi perjuangan Abuya. Asasnya ialah dengan mengamalkan ilmu dan minda Abuya, seterusnya menjaga ibadah dan syariat yang telah Abuya perjuangkan.

Perjuangan Abuya telah meningkat ke satu level baru yang terus terjun ke dalam masyarakat. Disinilah minda dan ilmu Abuya dapat disalurkan. Katanya lagi, Abuya bukan orang biasa, ILMU DAN MINDA PARA WALI ADALAH UNTUK UMAT MANUSIA. 

Memang benarlah kebenaran ini adalah satu anugerah dan tidak semua direzekikan untuk memahaminya dan bersamanya. Walaupun lahirnya jarang sekali bertemu Abuya, namun begitulah Syeikh Mustafa dan keyakinannya terhadap Abuya.

Kata-katanya lagi, memang ada orang menggunakan keimanan manusia lain untuk mengukuhkan kedudukan mereka, tetapi jika ada bilangan yang sedikit tapi mengamalkan minda dan ilmu Abuya seterusnya berpegang dengan syariat Islam dan menjaga ibadah yang asas ianya akan jadi cahaya menerangi mereka yang didalam kegelapan. Memang itulah sifat kebenaran. Menyelamatkan  satu sama lain, pada masa yang sama tiada siapa merasakan bahawa diri mereka adalah penyelamat. Begitulah Islam menyelamatkan iman manusia dan seterusnya membawa kepada kebenaran.

Ilmu menyuluh jiwa manusia untuk mendapatkan iman. Iman membawa manusia untuk berkasih sayang menuju syariat Allah taala. Begitulah salam kasih sayang yang terjalin semula dari bumi Jordan. Menghubungkan iman dan mengeratkan ukhuwah, dan saling mendoakan satu sama lain. Indahnya bilamana ilmu dan minda Abuya bilamana ianya dipraktikkan. Ianya membawa kepada pengamalan syariat Islam yang indah dan menyelamatkan.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?