MEMBELA RASULULLAH DENGAN MENYALIN AKHLAKNYA.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." Al-Ahzab : 56

Menjelang beberapa hari lagi kita akan menyambut hari yang bersejarah bagi umat Islam. Hari yang penuh berkat. Hari yang dimana seluruh makhluk di langit dan di bumi meraikannya. Itulah hari ulangtahun kelahiran junjungan Nabi Muhammad SAW. Hari lahirnya penyelamat manusia. Lahirnya manusia yang sangat tinggi kasih dan sayangnya terhadap kaumnya.

Baginda adalah manusia yang paling tinggi adabnya, paling tinggi kemanusiaannya, paling mulia akhlaknya, paling pemurah, paling bersifat mahmudah. Rasulullah SAW adalah kesayangan Allah Taala.

Peribadinya begitu mulia. Akhlaknya terhadap kawan atau lawan sangat luarbiasa. Siapa yang mencontohi akhlaknya pasti sangat disayangi kawan dan lawannya. Sepertilah Sultan Salahuddin Al-Ayyubi yang telah menyalin akhlak junjungan mulia kita. Bukan sahaja disayangi umat Islam malah disayangi oleh penganut-penganut agama lain kerana keperibadiannya. Penduduk di Baitul Maqdis ketika itu menunggu-nunggu kedatangannya kerana keadilannya. Malah tercatat dalam sejarah beliau sendiri yang merawat musuhnya Richard yang berhati singa.

Begitulah akhlak Nabi kita. Siapa yang menirunya pasti mulia. Disayangi kawan dan dihormati musuhnya. Akhlak Nabi Muhammad mampu tundukkan manusia sekalipun berhati singa.

Kita berada di zaman dimana agama Islam dihina dimana-mana. Malah dengan beraninya musuh Islam menghina Nabi kita. Mengapa ini terjadi? Agama Islam dengan mudah dimain-mainkan. Orang sudah tidak hormat dengan muslimin di seluruh dunia. Adakah salah musuh Islam kerana semua ini terjadi? Tidak! Tidak sama sekali.

Umat Islam dihina bukan kerana musuhnya tetapi kerana umat Islam itu sendiri. Umat Islam sudah tidak lagi menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh ikutan. Syariat Islam dipermainkan oleh umat Islam sendiri. Musuh Islam hanya meniti diatas kelemahan ini. Umat Islam lebih besarkan dunia dari akhirat. Tidak lagi menjadikan Allah sebagai tempat mengadu malah ramai yang menyalahkan Tuhan walaupun di mulut tidak mengatakannya. Waliyazubillah!

Membela Islam dan Nabi bukan hanya sekadar slogan mulut dan tulisan. Tidak cukup sekadar berkumpul beramai-ramai sambil melaungkan qasidah dan selawat. Membela Nabi mestilah dengan menyalin peribadi Nabi itu sendiri! Mengamalkan suruhan dan menjauhi segala larangannya. Sunnah bukan sekadar dibahas sanadnya tetapi sunnah diamalkan dan dihidupkan!

Kesedaran dikalangan umat Islam khususnya di negara kita sangat ketara. Tetapi tidak cukup sekadar dengan kesedaran. Hidayah yang diperolehi perlu dijaga dan dipelihara. Ibarat telah memiliki sebutir mutiara, ia perlu dijaga, digilap, dan dipelihara. Jika tidak ia akan hilang atau dirosakkan.

Jadilah pembela Allah, Rasul, dan agama Islam dengan menyalin keperibadian baginda SAW dan berpegang teguh dengan syariatnya. Para sahabat kerana berpegang teguh dengan syariat sanggup diseksa, dihina, menderita, disusahkan, tak cukup makan dan lain-lain lagi demi menjaga prinsip dan syariat Islam.

Ikhwan dan Asoib itu adalah salinan para sahabat. Mereka juga pasti memiliki ciri-ciri yang sama. Berpegang teguh pada prinsip dan syariat Islam. Kalau pejuang kebenaran pun tidak menyalin peribadi Rasulullah SAW bagaimana mahu menjadi pembela Islam? Apatah lagi bila syariat sudah longgar atau dilanggar. Marilah kita sama-sama menyalin peribadi Rasul dan para sahabat. Semoga kita mendapat berkat dan syafaat Nabi Muhammad SAW.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?