Pergiliran Kekuasaan Empayar Dunia Adalah Sunnatullah.
Tuhan yang menciptakan muka bumi ini, maka Dia jugalah yang menyediakan panduan atau kaedah bagaimana untuk mengekalkan kemakmuran di muka bumi ini. Tuhan tentunya punya kaedah-Nya sendiri untuk mentadbir bumi ini tanpa meminjam kaedah makhluk-Nya samada dari Timur maupun Barat.
Pergiliran dan putaran antara baik dan buruk, quwwah dan taqwa, timur dan barat, senang dan susah, adalah di antara kaedah yang digunakan Tuhan dalam mengatur kehidupan ini. Ini adalah sebahagian daripada sunnatullah.
Oleh itu keadaan akan bertukar, dunia akan berubah. Betapa ramai orang yang dihina akhirnya dimuliakan, ada yang asalnya senang akhirnya menjadi susah. Ada pula yang mulanya susah akhirnya disenangkan. Tidak kurang juga orang yang asalnya kaya akhirnya menjadi miskin dan orang yang miskin akhirnya menjadi kaya raya. Asal orang itu jahat bertukar menjadi baik.
Pada hari ini dunia berjalan diatas sistem quwwah iaitu sesiapa yang memiliki kekuatan lahir seperti kekuatan tentera dan sebagainya, ianya akan bertukar kepada sistem taqwa. Disitulah keadilan Tuhan kepada hamba-hambanya.
1. Firman Tuhan yang mafhumNya; "Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ?
Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam)" (Al-Insyirah:5-6).
2. Tuhan berkata lagi; "Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya. (At-Talaq:4)
3. Jaminan Allah lagi kepada mereka yang bertaqwa: "Dan siapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia (Allah) akan berikan padanya jalan keluar (penyelesai masalah/kesulitan) dan Dia (Allah) akan berikan rezeki padanya dari sumber-sumber yang tidak diketahuinya (dari sisi Allah Taala), Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." (At-Talaq:2-3)
Berdasarkan ayat-ayat diatas, sudah menjadi sunnahtullah berlakunya pergiliran antara senang dan susah, penderitaan dan kebahagian dikalangan hamba-hambaNya. Pergiliran ini Tuhan lakukan bukannya sia-sia tetapi ia punya hikmah yang cukup besar kepada manusia. Di waktu itu diuji dengan kesusahan seorang hamba dididik untuk berdoa dan mengharap kepada Tuhan manakala di waktu menerima kesenangan dan kebahagian, seorang hamba sepatutnya bersyukur, bertasbih, dan malu dengan nikmat yang Tuhan anugerahkan itu.
Selain dari itu Tuhan juga mempergilir-gilirkan di kalangan bangsa-bangsa di dunia ini menerajui tampok kepimpinan empayar di dunia samada dikalangan bangsa barat maupun timur. Tuhan tidak izinkan satu kelompok atau bangsa sahaja menguasai dunia ini selama-lamanya tetapi dipergilirkan diantara satu dengan yang lain.
Berdasarkan kaedah ini juga Allah pergilirkan di kalangan manusia untuk menguasai manusia, begitu juga dipergilirkan di kalangan bangsa-bangsa yang akan menguasai dunia.
Ini jelas disebut oleh Tuhan dalam Quran.
"Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. ( Ali-Imran:140 ).
Ayat diatas jelas menunujukkan janji Tuhan kepada orang mukmin bahawa Tuhan akan pergilir-gilrkan di antara manusia kemenangan dan kekuasaan keatas yang lain. Tuhan lakukan kaedah sebagai pengajaran kepada manusia supaya manusia belajar dan mengambil iktibar daripada kejayaan dan kejatuhan penguasa penguasa dunia sebelum mereka.
Didalam ayat seterusnya Tuhan berfirman yang mafhumnya:
"Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya -
Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira -
Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (Ar-Rum:2-5).
Ayat ini menceritakan tentang bangsa Rumawi yang beragama Nasrani yang mempunyai kitab suci sedangkan bangsa Farsi adalah beragama Majusi, menyembah api dan berhala (musyrik).
Kedua-dua bangsa itu saling perang memerangi. Ketika tersebar berita kekalahan bangsa Rumawi oleh bangsa Farsi, kaum musyrik Mekah menyambutnya dengan penuh kegembiraan kerana berpihak kepada orang musyrikin Farsi. Sedangkan kaum muslimin berdukacita kerananya. Kemudian turunlah ayat ini dan ayat yang berikutnya menerangkan bahawa bangsa Rumawi sesudah kalah itu akan mendapat kemenangan dalam masa beberapa tahun sahaja.
Hal itu benar benar terjadi. Sesudah beberapa tahun selepas itu menanglah bangsa Rumawi dan kalahlah bangsa Farsi. Dengan kejadian yang demikian nyatalah kebenaran Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul dan kebenaran Al-Quran sebagai firman Tuhan.
Kisah diatas membuktikan bahawa Tuhan telah berjanji akan dipergilir-gilirkan antara kemenangan dan kekalahan, kekuasaan dan kejatuhan diantara kaum dalam memerajui empayar dunia ini.
Ini adalah sebahagian daripada janji Tuhan yang perlu diambil perhatian kerana putaran kekuasaan dunia sedang berlaku. Selagi dunia belum kiamat maka selagi itulah pergiliran ini akan terus berjalan.
Inilah sunnatullah, ia telah berlaku kepada umat terdahulu dan akan terus berlaku kepada umat terdahulu dan akan terus berlaku kepada umat sekarang dan akan datang. Ia juga terjadi kepada umat Islam sebagaimana ia terjadi kepada kaum musyrikin. Ia tidak akan terdahulu atau terkemudian, ia tidak akan ketinggalan dan bertukar sepertimana mafhum firman Allah:
"... Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi " Sunnatullah " (undang-undang peraturan Allah), dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan (Sunnatullah) " itu. ( Fatir:43 ).
Tuhan tidak akan biarkan tampuk pemerintahan dunia dikuasai oleh sesuatu kaum, puak, bangsa, atau blok dunia sahaja. Tetapi akan dipergilirkan seperti yang dijanjikan. Dan janji Tuhan itu pasti. Maha suci Tuhan daripada memungkiri janjinya sepertimana yang mafhum firmanNya:
" Wahai Tuhan kami! ...sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji". (Ali-Imran:194).
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya." (Ali-Imran:9).
Bagi membuktikan kebenaran janji-janji Tuhan ini mari kita imbas kembali sejarah penaklukan dunia melalui empayar pemerintahan Timur dan Barat.
Sepanjang perjalanannya tamadun umat sentiasa dipergilirkan diantara timur dan barat. Manakala dari kalangan Timur dan Barat pun dipergilirkan diantara mereka. Begitu juga dikalangan kuasa pemerintahan Islam dan bukan Islam juga dipergilirkan. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: " Akan dipergilirkan empat orang Raja yang akan menguasai sepenuhnya Timur dan Barat. Mereka ialah :
1. Nabi Sulaiman AS.
2. Bukhtannassar
3. Iskandar Zulkarnaian
4. Namrud.
Mari kita lihat senarai pemerintahan yang telah mendapat giliran menguasai empayar dunia dari kalangan yang bukan Islam. Kebanyakkan empayar pemerintahan mereka meliputi Timur dan Barat.
1. Ahli sejarah mengenal pasti tamadun purba kuno terawal didunia ialah Babylon (Iraq) dan Mesopotamia ( Syria ). Ini bererti tamadun pertama didunia bermula dari Timur.
2. Pemerintahan Raja Namrud di Babylon ( Iraq ) sezaman dengan Nabi Ibrahim AS.
3. Pemerintahan Firaun selama hampir seribu tahun. Antara raja Firaun yang terkenal ialah yang sezaman dengan Nabi Musa AS.
4. Empayar kerajaan Greek yang pernah di perintah oleh Raja Iskandar Zulkarnain ( Alexander the great ) yang beriman dengan agama tauhid.Empayar Greek juga pernah diperintah dikalangan Raja yang tidak beriman seperti Raja Trojan.
5. Empayar Rome yang mana di antara Rajanya yang terkenal ialah Raja Hercules yang pernah menerima surat seruan daripada Rasulullah SAW. Pernah menerima agama samawi. Empayar rome sangat dikenali hingga di sebut dalam Al-Quran dalam surah Ar-Ruum.
6. Empayar Farsi menganuti agama majusi, silih bergantinya kekuasaan di antara Rome dan Farsi, sejarahnya dirakamkan di dalam Al-Quran.
7. Empayar kerajaan Hindu meliputi benua India, Tibet, Kepulaun Melayu Nusantara di Asia Tenggara.
8.Empayar Eropah, kebangkitannya di tunjangi oleh revolusi Perancis. Empayarnya meliputi seluruh Eropah, Timur Tengah dan Asia Tenggara.
9. Empayar Soviet Union ( USSR ) yang pernah mendominasi Timur dan Barat hingga hari ini.
10. Empayar Barat yang dikepalai oleh Amerika yang merupakan dominasi Timur dan Barat hingga hari ini.