PENDIDIKAN INSANIAH SANGAT PENTING DALAM MELAHIRKAN MANUSIA.

Setelah menyedari betapa pentingnya tamadun insan yang begerak di atas aqidah yang kukuh, maka sepatutnya seluruh negara umat Islam berusaha bersungguh-sungguh menjaganya daripada dirosakkan disamping berusaha melahirkan pakar dalam ilmu sains dan teknologi moden melalui sistem pendidikan Islam yang bersepadu antara ilmu fardhu ‘ain dengan ilmu fardhu kifayah. Jangan terus biarkan umat Islam hanyut dengan ilmu moden yang dibuang ruh Islam dimana akibat pemisahan ini akan menyebabkan lahirnya manusia yang hanya mementingkan kekayaan diri dengan mengenepikan kepentingan masyarakat umum disamping melahirkan manusia yang mengenepikan peranan agama dalam menangani permasalahan umat. 

Pemimpin negara umat Islam sewajibnya menyediakan sistem pendidikan sepadu yang akan melahirkan ulama’ profesional dan profesional yang faham Islam serta sentiasa berfikir bagaimana mahu memajukan umat Islam disamping sentiasa berkerjasama dengan ulama’ dalam menangani masalah masyarakat. Umat Islam semakin berpecah apabila pemimpin negara umat Islam tunduk kepada sistem dua aliran yang berpisah antara ilmu agama dan ilmu moden yang menyebabkan lahirnya dua masyarakat yang berlawanan iaitu yang memahami agama secara lengkap dengan mereka yang mengenali Islam untuk adat dan ibadat khusus sahaja. 

Apabila wujudnya masyarakat yang memisahkan ilmu fardhu ain dengan ilmu fardhu kifayah akan menyebabkan negara menjadi celaru apabila golongan pertama yang faham agama sentiasa menegur kesilapan yang berlaku di mana kebanyakan golongan ini tidak banyak diberi tempat dalam pentadbiran samada kerana kurang pakar dalam ilmu moden atau sengaja disisihkan demi kepentingan pemimpin, manakala golongan kedua yang tidak faham agama akan menggunakan kepakaran yang ada dengan mengenepikan agama serta menuduh golongan yang faham agama sebagai kolot kerana hanya tahu menegur sahaja.

Sepatutnya apabila wujudnya sistem pendidikan sepadu antara fardhu ‘ain dan fardhu kifayah maka negara bakal melahirkan umat yang bersatu atas asas Islam dan berusaha memajukan negara dalam membina tamadun rohani dan kebendaan secara serentak. 

Inilah yang membimbangkan kuffar dan anak didik mereka. Seorang sarjana Islam ( Dr Umar Farikh) telah mengingatkan bagaimana liciknya perancangan barat dalam menghancurkan perpaduan dan kefahaman umat Islam mengenai Islam melalui serangan dalam sistem pendidikan negara.
Katanya : “Sesungguhnya dunia Timur milik umat Islam telah tumbang dari sudut kehidupan berpolitik dan juga berbangsa kerana institusi pendidikan asing yang terdapat di negara umat Islam telah memecah belahkan perpaduan anak watan menjadi berpuak-puak.  Oleh itu tidak hairanlah matlamat anak watan turut terbengkalai malah jalan yang boleh menyampaikan kepada matlamat tersebut semakin jauh".

"Pendidikan adalah satu-satunya kekuatan tarbiah yang agong yang tidak sepatutnya berada pada tangan orang asing yang mempermain-mainkannya dan memonopolinya untuk kepentingan kuffar. Sesungguhnya pendidikan negara yang bersepadu walau pun menghadapi pelbagai kekurangan adalah jauh lebih baik daripada sistem pendidikan asing yang saling menjauhkan umat Islam daripada Islam itu sendiri walau bagaimana canggih sekali pun”.



إنما يخشى الله من عباده العلمــؤا إن الله عزيز غفور

 Sesungguhnya golongan yang paling takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya ialah para ulama’. Sesungguhya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Fathir:28).


Kerosakan akhlak dan masalah jenayah yang semakin bertambah dalam negara  bukan disebabkan negara kita tidak maju dari segi kebendaan tetapi disebabkan terabainya tamadun insan. Penjenayah, perompak bersenjata semakin subur dalam membunuh pengawal keselamatan dan orang ramai. Malah pengawal keselamatan pun diragui statusnya kerana banyak kes jenayah melibatkan mereka juga. Harapkan pagar, pagar makan padi. 

Sepatutnya sistem pendidikan bersepadu mesti dilaksanakan segera bukannya memerangi pengajian agama secara membuta-tuli. Jangan sama sekali runtuhkan tamadun insan yang dibina atas asas agama yang dijaga sebelum ini atas alasan ia membantut kemajuan material. 

Sesungguhnya kemajuan kebendaan semata-mata akan membawa kehancuran di dunia dan akhirat. Siapa benar dan siapa salah bukan akal dan nafsu sebagai ukuran sebaliknya wahyu Al-Quran dan sunnah nabi sebagai neraca penimbang. Pilihlah samada mahu melaksanakan Islam atau memerangi Islam. Sedarlah bahawa kita diajar erti dosa dan pahala dan apakah syurga dan neraka.

Orang yang sungguh-sungguh mengetahui ilmu Qur’an, maka dia akan tahu ilmu dunia dan ilmu akhirat. Ilmu akhirat berkaitan dengan syariat, tasawuf, tauhid dan ilmu dunia seperti ilmu politik, kemasyarakatan, psikologi, kebudayaan, sejarah, pendidikan dan lain-lain. Yang jadi masalah, umat Islam sudah tidak memahami Al-Quran. Realitinya sekarang kita banyak berhadapan dengan golongan cerdik pandai dan intelek. Anehnya orang yang mengaji Qur’an hanya tahu ilmu syariat, tauhid atau tasawuf saja, sedangkan ilmu sejarah, ilmu ekonomi, ilmu kebudayaan, ilmu politik, ilmu sosial ada dalam Qur’an. Dia tidak tahu karena kebanyakan guru-guru yang mengajarpun tidak faham ilmu-ilmu tersebut. Dulu bila umat Islam kuasai Al-Quran ertinya menguasai maklumat dunia dan seisinya. Itulah kejayaan mereka.

Jika kita mahu Islam sekali lagi berdaulat atas muka bumi ini, jangan dipisahkan kedua-dua pendidikan ini. Orang yang bertaqwa itu cerdik hati dan akalnya. Keduanya berjalan dengan serentak.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?