MEMBINA ASET AKHIR ZAMAN.

Pembinaan sebuah perjuangan yang kuat mestilah bermula dari akar umbinya. Lebih-lebih lagi membangunkan satu perjuangan yang ada kaitan dengan kebangkitan Islam di akhir zaman. Renung-renunglah sejenak, berfikir ke dalam, memahami kehendak Islam, melihat kembali apa dasar perjuangan Islam, bagaimana perjuangan Islam bermula, apakah asas kekuatannya, dan bagaimana cara membinanya.

Lihatlah bagaimana Baginda Nabi SAW memulakan dakwah Islamiah. Baginda memulakan dari orang terdekat dahulu. Kerana Islam itu bermula dari diri dan keluarga. Disinilah yang menguji ramai pejuang kebenaran, samada yang perkatakan kebenaran atau perjuangkan kebenaran. Memperjuangkan Islam tidak boleh diselitkan dengan kepentingan-kepentingan diri walaupun sedikit. Belajarlah dari sejarah dahulu mahupun sekarang.

Aset terbesar di akhir zaman yang akan diserahkan kepada pemimpin bertaraf khalifah bukanlah harta benda lahiriah seperti bangunan pencakar langit, premis-premis jualan, gedung-gedung mewah, kereta mewah yang menjalar. Namun aset yang sangat berharga di akhir zaman yang diserahkan kepada Imam Mahdi adalah manusia yang terbina insaniahnya! Manusia yang terbina rohnya. Manusia yang hidup matinya untuk Allah dan Islam. Sanggup susah dan senang demi Islam. Manusia yang ada prinsip dan berpegang teguh dengan syariat Islam. Manusia yang tidak boleh dibeli dengan dunia dan kemewahannya. Inilah aset terbesar di akhir zaman.

Aset ini terbina dan dibina bermula dari diri dan keluarga. Disinilah yang menguji ramai pejuang-pejuang kebenaran. Memulakan dakwah dengan diri dan keluarga sangat-sangat menyiksa nafsu. Tak sama perjuangkan Islam di tengah-tengah masyarakat dengan perjuangkan Islam didalam diri dan keluarga. Di tengah masyarakat, boleh jadi perjuangannya disambut baik, malah dia diangkat menjadi hero masyarakat. Dia dikagumi, dijadikan contoh dan role model. Namanya disebut-sebut, ke mana pergi menjadi perhatian. Bahkan hidupnya dibiayai dan diberikan wang dalam perjuangannya.

Tak sama membina Islam didalam keluarga. Lebih memerlukan pengorbanan. Pengorbanan masa, tenaga, wang, dan seribu macam lagi perkara-perkara yang sangat menyakitkan nafsu kita. Disinilah Allah dan Rasul serta orang mukmin akan menilai kita. Sejauh mana keikhlasan kita dalam perjuangkan Islam.

Contohilah para rasul dan sahabat. Mereka memulakan pembinaan insan bermula dari diri dan keluarga. Setelah itu barulah bertemu masyarakat dan pada masa yang sama pembinaan keluarga diutamakan. Kerana didalam Islam, pendidikan tiada penamatnya. Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud, tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Ertinya, membina keluarga ini tidak terhenti pada masa tertentu. Malah ianya berterusan hinggalah ke generasi seterusnya.

Inilah aset akhir zaman yang sangat berharga. Janganlah tertipu dengan dunia dan hawa nafsu hingga aset ini diabaikan. Aset ini tidak boleh dibeli dengan wang dan dunia. Samada ke syurga atau ke neraka, ianya terletak kepada kita.

Imam Mahdi tidak perlukan harta benda bersifat lahiriah. Itu orang kafir boleh mengusahakannya malah disudut itu mereka lebih maju dari orang Islam. Memang Allah izinkan kerana bukan itu yang menjadi pandangan Allah. Yang ditunggu-tunggu persiapannya ialah aset manusianya. Manusia yang mempunyai hati yang luar biasa. Kasih sayang yang lahir dari ibadah dan perjuangannya. Bukan kasih sayang palsu yang dibuat-buat dan dijadualkan. Aset inilah yang membuatkan para sahabat dan penghuni syurga mencemburuinya. Aset ini bermula dengan pembinaan sebuah keluarga berlandaskan syariat Islam.

Marilah kita hayati dan renung sejenak kata-kata dan minda Abuya guru mursyid kita tentang keluarga yang menjadi aset di akhir zaman.


Keluarga bahagia menjadi cita-cita semua
Bapa bertanggungjawab ibu pengasih mengurus rumahtangga
Anak-anak taat setia mendengar kata
Bekerjasama bertolong bantu bersama ibu bapanya
Tuhan sama-sama disembah syariat peraturan keluarga
Ada masalah sama-sama menyelesaikannya
Al Quran As Sunnah tempat rujukan mereka
Setelah dijumpa sama-sama mengikutnya
Selesailah masalah keluarga tanpa berpanjangan
Kerana sama-sama taat dengan Tuhannya
Ada masalah lagi diselesaikan pula
Al Quran dan As Sunnah jugalah tempat rujukan
Berkasih sayang rukun rumahtangga
Kerana Tuhan sama-sama ditakuti dan dicintai bersama
Takutkan dan cintakan Tuhan rahsia bahagia
Iman dan taqwa berkasih sayang kekuatan bersama
Tidak ada iman, taqwa, kasih sayang tidak akan ada
Wang dan harta punca porak-peranda
Carilah kekayaan bukan untuk dicintai
Tapi untuk khidmat sesama manusia
Biasanya pepecahan rumahtangga Tuhan tidak diambil kira
Masing-masing ikut akal dan nafsunya
Syariat Tuhan diabaikan keluarga
Aman damai punah hidup celaka
2.6.2004 - 4
Menjelang Asar

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?