KEBANGKITAN ISLAM KE 2 DITUNJANGI RASA CINTA DAN TAKUTKAN TUHAN.

Perjuangan yang bertunjangkan dan berteraskan rasa takut dan cinta kepada Tuhan ini tahan diuji dan tahan dicabar. Ia kuat membentuk peribadi dan jiwa seseorang itu kerana rasa takut dan cinta  Kepada Tuhan.

Adapun pembentukkan peribadi yang terhasil dari tabiat semula jadi atau dari suasana dan persekitaran adalah lemah dan tidak tahan dicabar. Kalau dicabar, ia akan terbarai dan musnah. Ia mudah berubah mengikut suasana dan pengaruh luaran. Kalau dijemur dia kering, kalau direndam dia basah. Kalau terdedah kepada budaya lepak, dia akan turut melepak. Kalau terdedah kepada pengaruh “black metal”, maka jadi ‘logam hitam’lah dia.

Sering kita lihat orang yang sewaktu remajanya di kampung, lemah lembut, pandai menghormati orang-orang tua dan selalu melaungkan azan di surau dan masjid. Tetapi sesudah dewasa dan bekerja di kota, dia tidak kisah pula pada orang dan suka pula menyanyi di disko. Ke masjid sudah tidak ada lagi. Ada pula orang yang semasa remajanya liar dan tidak boleh dikawal tetapi berubah menjadi baik walaupun persekitarannya penuh dengan godaan dan pancaroba. Inilah bezanya pembentukan peribadi yang diperolehi tanpa usaha dan yang diperolehi melalui mujahadah, keinsafan dan keimanan.

Oleh itu, tidak cukup kalau kita lihat umat Islam itu baik semula jadi. Kita kena tentukan umat Islam itu atas dasar kuat iman serta takut dan cinta kepada Tuhan. Barulah keperibadian yang ada pada mereka itu mencengkam dan termeteri di dalam jiwa dan diri mereka. Barulah berlaku pembinaan insan yang sejati yang menjadi darah daging dan tidak mudah luntur dan berubah dalam suasana apa sekali pun. Dalam senang mereka baik. Dalam susah pun mereka baik. Tidak ada kuasa mereka baik. Bila ada kuasa pun mereka tetap baik. Bila miskin mereka baik. Sudah kaya-raya pun mereka tetap baik. Di khalayak ramai mereka baik, bila bersendiri pun mereka tetap baik.

Di Malaysia mereka baik, bila berada di London atau di Moscow pun mereka baik. Kerana baik itu bukan mengikut keadaan, tempat atau musim. Di mana pun dan dalam keadaan apa sekali pun kita wajib memilki peribadi yang baik. Dengan kekuatan peribadi yang baik yang berteraskan iman ini, barulah akan terpancar akhlak Islamiah yang boleh dilihat oleh semua orang. Akhlak itu ibarat bunga. Semua manusia dan bangsa sukakannya. Ia bersifat sejagat. Tidak payah banyak cakap, akhlak yang murni dan luhur itu adalah satu bentuk dakwah yang sangat berkesan.

Tidak pernah berlaku di dalam sejarah manusia di mana bangsa yang menjajah, menganuti agama bangsa yang dijajahinya sendiri melainkan di dalam sejarah Islam. Orang-orang Monggol yang dahulunya merupakan suku bangsa dari Asia Barat yang liar dan ganas, akhirnya menjadi penganut Islam yang setia berubah akhlak dan peribadinya kepada bangsa yang bertamadun. Melalui ‘aqidah Islam yang dianuti, mereka bergerak membawa dan menyampaikan Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Tidak ramai orang kafir memeluk agama Islam kerana ilmu Islam itu sendiri atau kerana sebab-sebab yang lain. Yang ramai memeluk Islam ialah kerana melihat akhlak dan cara hidup umat Islam yang cantik, indah dan murni. Akhlak dan cara hidup umat Islam ialah dakwah yang paling berkesan. Pada zaman awal Islam ramai kaum musyrik dan Yahudi memeluk Islam hanya kerana melihat akhlak Rasulullah SAW yang sangat mulia lagi terpuji.

Kebangkitan Islam kali kedua akan berlaku dan mengulangi kebangkitan Islam pertama yang ditunjangi oleh Rasa cinta dan takut Tuhan.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?