Abuya Dididik Oleh Kerajaan Ghaib
Diantara sebab seseorang itu mahu menjadi pengikut Abuya ialah kerana keberkesanan kata-kata Abuya kepada dirinya. Setiap kata-kata Abuya samada dalam cakap atau buku, sangat mengubah dirinya. Ada 'power' dalam kata-kata atau tulisan Abuya itu hingga memberi kekuatan untuk berubah.
Ini adalah pengalaman umum semua anak murid Abuya. Sebab itulah pengamalan Islam pada diri pengikut Abuya sejak dalam Arqam lagi sangat serius. Setiap kuliah Abuya pasti terus diamalkan dengan teliti dan serius. Mengamalkan Islam bukan saja yang wajib bahkan yang sunat pun sangat dibesarkan. Meninggalkan yang mungkar bukan sahaja yang haram, bahkan yang makruh pun sangat diperangi.
Antara perkara makruh yang sangat diperangi Abuya ialah ROKOK. Sebab itu dalam jemaah Abuya, jangankan dadah, rokok pun sangatlah dilarang keras. Siapa yang masih merokok maka bukan ahli jemaah.
Tapi ajaibnya, waktu zaman Arqam itu tidak ada peraturan khas untuk perokok atau penagih dadah, klinik khas atau tindakan khas, apatah lagi pusat serenti untuk memastikan setiap ahli tidak mengambil dadah atau rokok. Seolah-olah sudah menjadi 'trademark' siapa yang betul-betul masuk Arqam pasti akan berhenti merokok. Ini adalah hasil dari keberkesanan didikan Abuya. Segala kata-kata, akhlak dan perjuangan Abuya itu menghasilkan pengikut-pengikut yang taat dan patuh kepada Allah dan Rasul, yang secara lahirnya nampak pada ketaatan mereka kepada pemimpin dan budaya hidup Islam dalam jemaah termasuklah untuk tidak merokok.
Begitu juga kesan dakwah Abuya terhadap kaum wanita, misalnya dalam hal menutup aurat. Bila ikut Arqam sahaja, maka terus pakai tudung dan purdah tanpa memakan masa yang lama. Bahkan ramai wanita yang sekali sahaja datang ikut ceramah di pusat-pusat Arqam akan terus menutup aurat.
Pernah saya lihat seorang siswi yang datang dengan kekasihnya ikut ceramah Abuya di Sungai Penchala. Waktu datang, dia ber'couple' dan pakai baju yang tidak menutup aurat. Ikut kuliah lebih kurang 3 jam sahaja.
Bila nak balik, sang kekasih mencari-cari pasangannya hingga ke kawasan muslimah tapi tak jumpa. Rupanya siswi tu dah pakai tudung, patutlah tak jumpa. Habis ceramah terus beli dan pakai tudung. Balik pun dah tak mahu berdua-duaan dengan kekasihnya. Begitulah keberkesanan didikan Abuya, istilahnya "lidah masin".
Sudah tentu Abuya bukan sebarang pendakwah. Semua kata-katanya dari hati, sebab itulah jatuh ke hati dan mengubah diri orang yang mendengarnya. Sudah tentu Abuya mempunyai kekuatan roh yang begitu hebat hingga dapat mengubah roh-roh orang lain.
Saya sebagai anak lelaki sulung yang sering Abuya ajak berjuang dari kecil selalu sahaja menyaksikan keajaiban Abuya itu. Termasuklah terhadap diri saya sendiri. Abuya telah berjaya menanamkan jiwa perjuangan Islam kepada saya sejak kecil lagi.
Ada satu peristiwa yang menggemparkan sekolah yang saya lakukan kesan dari didikan Abuya itu. Sewaktu saya sekolah rendah darjah 4, pengamalan Islam sangatlah kurang. Waktu itu kalau ada ustazah yang pakai serkup pun dah dikira hebat. Pergaulan lelaki perempuan sangatlah bebas. Namun Abuya telah mengajarkan bahkan mengamalkan syariat Islam kepada kami anak-anaknya.
Pada suatu hari, guru kelas saya mengarahkan saya untuk duduk semeja dengan pelajar perempuan. Saya rasa sangat tak boleh terima arahan itu, sebab Abuya dah tanamkan pada jiwa saya bahwa pergaulan bebas itu haram. Duduk sebelah perempuan bukan muhram itu haram. Walhal waktu itu saya belum pun baligh, tapi semangat nak perjuangkan Islam itu begitu membara. Maka, saya lawan arahan guru kelas saya itu dan saya buat keputusan untuk berhenti sekolah. Abuya menyambut keputusan saya itu dengan gembira. Abuya kata, "Alhamdulillah, inilah 'hero' ayah. Beginilah pejuang Islam!". Sejak itu, saya hanya bersekolah dengan Abuya.
Siapakah yang membuat Abuya jadi begitu? Siapa yang mendidik Abuya jadi begitu kental dengan Islam? Didikan ayahnya yang orang soleh itukah? Datuk Muhammad yang saya kenal memang orang orang yang kuat pengamalan Islamnya. Tapi, benarkah Abuya jadi pejuang Islam yang hebat itu kerana didikan ayahnya semata-mata?
Pernah ada seorang ahli baru bertanya kepada Abuya: "Saya lihat adik-beradik Abuya tak sama macam Abuya. Mereka seperti orang-orang Islam yang lain juga. Sedangkan mereka dididik oleh ayah yang sama. Bahkan ada yang sekolah agama lebih tinggi dari Abuya."
Diiringi dengan senyuman Abuya menjawab: "Begitulah saya kalau hanya dididik oleh ayah saya dan guru-guru saya. Paling tinggi pun saya hanya guru agama dengan keadaan keluarga lebih kurang macam adik-beradik saya itu".
Ahli baru itu bertanya lagi: "Jadi, bagaimana Abuya jadi sehebat ini? Bagaimana Abuya boleh perjuangkan Islam hingga ke taraf dunia?
Jawab Abuya: "Saya dididik langsung oleh Sayyidi Syeikh (SS). Dialah yang memandu saya dalam semua perkara"
"Tapi, bukankah SS sudah ghaib ketika Abuya lahir?"
"Ye, SS memang dah lama ghaib dan dari alam ghaib itulah dia mendidik saya".
"Apa contohnya?"
"Pernah waktu kecil, saya diajak kawan-kawan pergi tengok wayang. Saya tertidur dari mula hingga akhir. Saya sedar bila kawan-kawan kejutkan sebab tayangan wayang itu dah habis. Saya dipelihara dari maksiat sejak kecil lagi. Begitu jugalah jemaah dan perjuangan Islam saya ni, semuanya dipandu oleh SS. Dialah tuan punya jemaah ini. Saya menjalankannya sahaja"
Dari cerita ini fahamlah kita bahawa Abuya dididik oleh kerajaan ghaib. Perhubungan Abuya dengan alam ghaib sangatlah intim, kerana Abuya memang utusan alam ghaib untuk meng-Islamkan bumi ini.
Jadi, diingatkan di sini, kepada sesiapa sahaja terutama adik-adik, anak-anak dan cucu-cucu Abuya, janganlah menganggap Abuya itu sebagai abang, ayah dan datuk biasa. Janganlah mengikut Abuya itu hanya kerana hubungan darah atau fitrah. Lebih-lebih lagi kalau sekadar hubungan perkahwinan. Tetapi ikutlah perjuangan ini atas dasar keyakinan bahawa Abuya itu utusan kerajaan ghaib untuk meng-Islamkan dunia. Jemaah ini jemaah RSA yang dipandu dari dulu lagi dari alam ghaib oleh mereka. Sewaktu jasad Abuya ada, dia memimpin jemaah ini dengan roh dan jasadnya. Sekarang Abuya dari alam ghaib tetap memimpin jemaah ini walau jasadnya kita tak nampak. Abuya salurkan kepimpinannya itu melalui wasilah Bonda Ummu Jah.
Abuya dah katakan, kalau Abuya itu tidak dididik oleh Imam Mahdi, maka akan jadi seperti adik-beradiknya sahaja. Kalau jemaah Abuya ini tidak di'backing' oleh kerajaan ghaib, maka dah lama hancur.
Betapalah Bonda Ummu Jah, seorang wanita yang memang tidak boleh menjadi pemimpin. Kalau Bonda Ummu Jah itu tidak dididik dan dipandu oleh RSA dari alam ghaib, dia hanyalah seorang balu yang lemah seperti kebanyakan isteri yang kematian suami. Kalau bukan kerana ada kuasa besar dibelakangnya, sudah pasti jemaah ini berkubur begitu sahaja!