Jurucakap Rasulullah Juga Seorang Wanita
Siti Aisyah, Ummul Mukminin yang sangat membantu Rasulullah SAW di dalam membantu dan menyampaikan hasrat Baginda. Juga membantu memahamkan para sahabat apa-apa yang telah disampaikan daripada Baginda. Para sahabat, untuk sekadar memahami apa yang Baginda sampaikan itu, sekali sebut sahaja mereka sudah faham. Itu ilmunya. Tetapi untuk pengamalannya, ternyata para sahabat merujuk dengan Siti Aisyah. Merujuk untuk bagaimana perkara-perkara itu hendak dilaksanakan.
Siti Aisyah bukan calang-calang wanita. Dia suka perpanjangkan silaturrahim kepada manusia. Jika bukan gilirannya bersama Baginda, dia akan bersedekah sebanyak yang mungkin yang termampu. Dia juga dikenali sebagai seorang wanita yang paling mahir bersyair, paling faham soal fekah dan sangat pakar di bidang perubatan. Ini semua dipelajarinya daripada Baginda Rasul sendiri dan ini para sahabat sangat menyaksikannya.
Di usia seawal 9 tahun, bermulalah kelas pengajiannya dengan Rasulullah SAW. Siti Aisyah adalah doa Rasulullah. Baginda pernah menceritakan keinginan dan keperluannya terhadap seorang yang mampu menampung wahyu yang diturunkan kepadanya. Segala ilmu yang diberikan kepadanya, Baginda perlukan seseorang yang sangat boleh memahaminya. Tetapi adalah sulit kalau orang itu bukan daripada ahli keluarganya dan amat sulit jika orang yang berusia untuk menerima semua ini.
Rupa-rupanya hasrat Baginda, Allah perkenankan. Tuhanlah yang telah mempersiapkan Siti Aisyah dengan kelebihan semua itu. Dia seorang yang cukup muda, sangat cerdik dan mudah untuk menghafal apa-apa yang disampaikan. Tidak terhad masanya kerana dia juga adalah isteri Baginda. Dan tidak terhad untuk diberikan segala ilmu kepadanya kerana Siti Aisyah seorang wanita, yang dia juga menjadi wakil untuk ilmu-ilmu dan panduan kepada kaum sejenisnya.
Maka membesarlah Siti Aisyah sebagai seorang murid yang tidak pernah berpisah dengan Baginda Rasul daripada kelasnya. Bahkan apa yang sangat istimewanya, kerana Siti Aisyahlah wahyu diturunkan. Malaikat Jibril takkan menurunkan wahyu jika Siti Aisyah tiada di sisi Baginda. Ini adalah perintah Tuhan sekaligus penghargaan dan penghormatan kepadanya.
Maka lebih 10 ribu hadis yang telah diriwayatkannya. Ini tidak hairan, kerana memang layak dia menghafal sebanyak itu bahkan kalau lebih pun sangat boleh diterima. Dia adalah murid Baginda yang menjadi rujukan para sahabat. Bahkan setelah kewafatan Baginda, khalifah-khalifah terus merujuk kepadanya mengenai ajaran-ajaran Islam yang disampaikan Baginda Rasul kepadanya.
Para khalifah sangat menjaga keselamatan dan kebajikan isteri-isteri Baginda Rasul selepas kewafatannya. Setiap isteri-isteri Rasulullah, ditugaskan di kalangan para sahabat samada lelaki atau wanita untuk menjaga mereka.
Hingga muncul sekelompok munafik yang berjaya mengacau suasana ketika zaman khalifah Sayidina Ali. Ketika isteri-isteri baginda yang lain dikawal, tiada apa pun dikatakan kepada mereka. Tetapi pada Siti Aisyah, dituduhnya mewujudkan pasukan tentera. Sedangkan khalifahlah yang melantik pengawal-pengawal untuk Siti Aisyah!
Orang-orang ini memang tidak senang dengan Siti Aisyah. Kenapa tidak dilagakan Sayidina Ali dengan isteri-isteri baginda yang lain? Kenapa mesti Siti Aisyah? Kerana Yahudi tahu Siti Aisyah sangat faham tentang Islam, menjadi rujukan untuk pengamalan Islam. Kerana itulah dilaga-lagakan dengan Siti Aisyah. Kenapa Sayidina Ali? Kenapa tidak khalifah-khalifah yang lain? Kerana Sayidina Ali adalah keluarga Baginda, dan adalah mudah untuk dikaitkan dengan sentimen emosi kekeluargaan.
Berjaya Yahudi memutar belitkan sejarah dan menuduh kedua-dua peribadi ini bergaduh sesama sendiri. Sedangkan cerita-cerita itu Yahudilah yang merekanya! Kerana tidak senang dengan peribadi Siti Aisyah, maka direka-rekalah pelbagai cerita.
Akhirnya Siti Aisyah menjadi mangsa sikap-sikap orang yang termakan hasutan musuh dan emosional.
Sedangkan untuk mendapatkan kebenaran, bukan semuanya melalui kesenangan. Bahkan perlu ditekan-tekan nafsunya, kerana kebenaran itu terlalu mahal. Tetapi kerana tidak tahan mujahadah, tidak sanggup ditekan-tekan nafsu, bahkan dengan emosi yang melulu, kebenaran pun sanggup ditentang.
Sejarah adalah panduan kepada kita. Kata Abuya, sejarah adalah guru. Orang yang mahu berjaya, mesti merujuk kepada sejarah. Kejayaan tidak akan datang melainkan ianya mengulangi sejarahnya. Kita perlu ambil iktibar daripada sejarah ini. Lebih-lebih lagi TH dan GBA supaya tidak mengulangi di atas kejadian yang menimpa sekarang. Janganlah menerima dengan emosi dan sekadar mendengar hasutan-hasutan musuh. Jika tidak, maka akan berulanglah sejarah Syiah.