PASUKAN ELIT TUHAN YANG MEMILIKI IMAN YANG AJAIB.
Apakah asas kekuatan yang Tuhan bekalkan untuk Islam? Bukan pada gedung-gedung yang gagah, masjid-masjid yang cantik, kitab-kitab yang bertimbun dan lain lain. Tapi apa yang Tuhan bekalkan dalam diri umat Islam? Iaitu IMAN yang kukuh dan berbaik sangka dengan Allah.
Perkara-perkara tersebut disuburkan dengan ibadah-ibadah dan latihan-latihan rohaniah setiap hari. Kalau dengan latihan-latihan rohaniah yang dikekalkan setiap hari, jiwa akan kukuh. Manusia akan sampai ke makam yang lebih tinggi daripada malaikat. Cintakan mati dan hidup memperjuangkan Tuhan.
Asas kekuatan yang diperolehi dengan beriman dan mendisplinkan diri, sembahyang berjemaah setiap waktu, dan mengamalkan tarekat (mengambil satu cara yang sistematik didalam mengekalkan latihan rohaniah setiap hari). Ini dikekalkan sebelum Abuya ghaib dan selepas Abuya ghaib.
Bertarekat adalah satu cara mengatur dan menyusun supaya latihan-latihan rohani dan ibadah-ibadah yang dilakukan mendatangkan hasil. Hasilnya ialah membentuk jiwa yang lunak dengan Tuhan, keras terhadap nafsunya. Antara yang dilakukan untuk melembutkan hati ialah, dengan hiburan yang mendidik nafsu iaitu dengan alunan-alunan zikir, selawat-selawat yang dilakukan dengan nada-nada dan irama-irama yang merdu.
Setiap tarekat ada alunan-alunan zikir tersendiri beserta nasyid. Hati yang lembut hasil hiburan yang mendidik ini akan membuahkan hati yang halus perasaan dengan Tuhannya.
Abuya ketika peringkat awal jemaah, mendendangkan kepada kita alunan-alunan nasyid yang mendidik hati. Diambil daripada tarekat didalam bahasa arab, walaupun bahasanya tidak difahami namun bahasa hati sangat terasa. Hati jadi halus, mudah dibentuk dan mudah dihayati ibadah-ibadah yang diamalkan.
Kemudian daripada nasyid-nasyid arab tadi Abuya melayukan. Tujuannya supaya lebih mudah difahami apa yang disampaikan di samping nada-nada dan irama yang membawa perasaan bersamanya.
Kalau begitu, apa salahnya kita juga berselawat dan berdoa di dalam bahasa ibunda? Bahkan kebanyakan tarekat melakukan hal yang sama. Bukannya dilakukan di dalam sembahyang! Hanya doa-doa, selawat-selawat, rintihan-rintihan yang dilakukan di dalam bahasa ibunda supaya ianya lebih mudah dihayati untuk diamalkan.
Hanya yang tidak bertarekat sahajalah yang sangat menolak ini semua! Ya, WAHABI memang anti perkara-perkara sebegini. Tetapi jika mereka yang melakukannya, ia tidak mengapa. Tetapi jangan orang lain yang buat, terus dikatanya berdosa!
Latihan-latihan ini telah dilakukan ketika di awal perjuangan Abuya lagi. Ia bukan perkara baru. Orang yang sama cita-cita dengan Abuya, akan meneruskan apa yang Abuya lakukan. Di dalam hati mereka, cita-cita Abuya itulah kehendak mereka. Sebab itu mereka tiada kepentingan lain melainkan ingin meneruskan apa yang Abuya bawa.
Melainkan orang yang mempunyai kepentingan lain di dalam hatinya. Dia tidak akan membantu dan mendokong hasrat dan cita-cita Abuya walaupun di mulutnya mengatakan 'YA'! Tetapi di hati dan perlaksanaan tiada. Buktinya, dia tidak mendokong dan menyambut hasrat-hasrat Abuya itu. Malah apa yang dilakukannya mengikut cara dan kaedah sendiri. Dia membawa peribadinya dengan menjual nama mursyidnya.
Sebab itu orang seperti ini, dia tidak tahan diuji. Kerana dia tidak mengikut disiplin-disiplin yang disediakan kepadanya. Malah melanggar apa yang disusun kepadanya. Apakah boleh lahir peribadi luar biasa bila tidak mengikut latihan-latihan atau disiplin yang telah diberi?
أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"
Al-Ankabut: 2
Para sahabat pun diuji dengan latihan-latihan yang luar biasa. Diseksa, dihina, dikeji, dikata, dimalukan, difitnah, bahkan ada yang dibunuh! Itu lagi dahsyat latihannya. Maka tak hairanlah lahir peribadi-peribadi sahabat yang sungguh luar biasa!
Hasil latihan-latihan yang dilalui, berlakulah pilihan di atas pilihan setiap masa. Lahirlah juga hati-hati yang luar biasa yang diiktiraf Tuhan. Mereka inilah yang dikatakan, kerana mereka diberi bantuan, kerana mereka diberi rezeki. Inilah dia yang dikatakan pasukan elit yang mempunyai iman yang luar biasa.
Mereka ini lebih hebat dari malaikat. Hingga para malaikat mencemburui dan akui kehebatan mereka. Jibril sampaikan pernah menyatakan hasrat ingin menjadi manusia tetapi apa kata Tuhan? "Kamu tidak mampu dan takkan boleh!"
Hingga mereka berkata, “Wahai Tuhan! Kami hairan dengan kelompok hamba-Mu ini. Engkau uji mereka, atau Engkau beri nikmat kepada mereka, tetap mereka dapat Engkau. Begitulah iman mereka.”