Setiap penyakit adalah untuk mendapatkan Tuhan.

Dalam Islam, penyakit lahiriah ini terbahagi kepada dua. Pertama penyakit yang berpunca daripada hal-hal lahiriah, seperti kencing manis bila terlebih pengambilan gula, kolestrol berlebihan daripada lemak dan garam, luka bila terjatuh. Yang kedua berpunca daripada hal-hal yang ghaib, seperti sihir atau gangguan jin.

Dalil Quran tentang wujudnya sihir ada di dalam surah Al-Baqarah ayat 102 yang berbunyi:



"Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah.


Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui." (Al-Baqarah : 102)


Daripada ayat tadi jelaslah bahawa sihir itu boleh didapati dengan mempelajarinya serta kesan-kesannya sangatlah negatif, ianya rosak dan merosakkan. Sihir-sihir yang dihantar berkesan bila Tuhan izinkan untuk menguji hamba-hambanya. Sihir itu pula boleh meniti sekiranya ada laluan. Antara laluannya ialah penyakit-penyakit lahir. Contoh, orang normal demam 2-3 hari, tapi bila sihir meniti boleh jadi sampai sebulan. Begitulah dengan lain-lain penyakit. Juga meniti melalui perasaan. Contohnya, bila marah atau sedih, bila sihir meniti perasaan tak dapat dikawal. Tindakan melulu terjadi, dan perlu diingat bahawa ianya boleh meniti sekiranya Tuhan izinkan dan laluan sudah terbuka atau ertikata lain benteng diri telah bocor.

Rasulullah ketika akhir hayatnya menanggung derita akibat disihir wanita yahudi. Sihir yang diletakkan di dalam makanan ketika menjamu Baginda selepas perang Khaibar, dan sakit itu ditanggung hingga wafatnya. Boleh sahaja Tuhan tidak izinkan, tetapi Tuhan hendak beritahu hamba-hambaNya, Baginda walaupun seorang Rasul tetapi dia adalah manusia. Ini juga panduan buat kita jika terkena sihir, tirulah akhlak Baginda yang redho dan sabar menanggungnya. Bahkan sakit yang ditanggung tidak menghalang kerja-kerja Islam.

Punca sakit kedua yang datangnya bukan berbentuk lahiriah adalah kerana gangguan makhluk halus, atau erti kata lain jin. Jin adalah sejenis makhluk yang Tuhan ciptakan dan diberatkan syariat ke atasnya sepertilah manusia bersyariat. Sebab itu jin pun ada yang Islam ada yang bukan Islam. Ia berada di dunia yang sama tetapi di alam yang lain. Antara dalil wujudnya jin ialah;



"Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma."
(Al-Hijr : 27)

Abuya ingatkan kita, waktu maghrib pastikan tidak berkeliaran di luar rumah. Bahkan sunnah menutup tingkap dan pintu ketika itu. Rupa-rupanya jika disingkap tabir alam rohani, masa itulah makhluk-makhluk ini berkeliaran. Maka tak hairanlah sekiranya kita dapati ada yang disampuk jin, terkena gangguan dan lain lain.

Sakit-sakit yang bukan berpunca daripada sihir atau gangguan jin, rawatannya mudah didapati dan kesannya cepat kerana ianya berkaitan fizikal luar. Manakala sakit yang berbentuk gangguan atau sihir, rawatannya tidak sama. Usahalah ribuan ringgit sekalipun tetapi kalau bukan pada jalannya tiada kesan. Perlu diingatkan juga bahawa apa pun kategori penyakit yang menyembuhkannya adalah Tuhan. Kita hanya disuruh berusaha sebagai perintah syariat. Kita buat sebab perintah Tuhan.

Oleh itu, pesanan Abuya kepada doktor-doktor atau tabib-tabib di dalam jemaah bila merawat pesakit pastikan ianya terkait dengan Tuhan. Ubat-ubatan yang diberikan disertakan dengan doa kerana ia lebih berkesan khususnya untuk hati manusia. Tujuan Tuhan datangkan penyakit-penyakit lahir samada puncanya berbentuk fizikal atau gangguan dan sihir adalah untuk proses hati-hati manusia agar mendapat Tuhan. Bila hati tiada Tuhan di dalamnya, itu adalah penyakit yang sebenar. Bahkan ia lebih memudharatkan dan akibatnya adalah neraka! Ini lebih parah dari kanser peringkat empat. Orang mati sakit boleh jadi mati syahid dan masuk syurga, tetapi orang yang mati dengan hati yang berpenyakit tempatnya adalah neraka!


Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?