Peringkat-peringkat Kehidupan Roh
Tuhan ciptakan roh melalui enam peringkat kehidupan. Ketika Allah ciptakan seluruh roh manusia, Allah bertanya kepada semua roh-roh itu:
وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَىٰ شَهِدْنَا أَن تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ
"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
Al-A'raf : 172
Ini adalah tahap pertama yang roh alami sebelum dimasukkan ke dalam fizikal-fizilkal yang telah ditetapkan.
Kedua, peringkat di alam rahim. Peringkat ini roh berada di alamnya yang tersendiri. Allah masukkan ke dalam hati ibu-ibu yang mengandungkan roh-roh yang baru ditiupkan ke dalamnya. Inilah tahap di mana roh belajar berperasaan di alam yang baru, iaitu alam rahim. Tuhan berfirman lagi di dalam surah Al-Imran ayat 6:
هُوَ الَّذِي يُصَوِّرُكُمْ فِي الْأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَاءُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
"Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Al-Imran: 6
Tahap yang ketiga, ketika sampai masanya roh yang berada di alam rahim tadi keluar ke alam nyata. Iaitu roh-roh ini lahir ke dunia dengan satu fizikal yang baru. Roh-roh ini akan melalui hayatnya mengikut ketetapan yang telah dikehendaki ke atasnya. Di alam nyata inilah atau ertikata lainnya ialah dunia, roh-roh ini diberatkan syariat ke atasnya. Setiap amal baik buruknya akan dicatit.
Di alam ini atau di dunia, kehidupan roh itupun beringkat-peringkat pula. Bermula dari bayi, menjadi kanak-kanak, kemudian remaja, dewasa, hinggalah dia tua. Di peringkat ini, Tuhan memberatkan tanggunggjawab ke atas roh-roh itu untuk menjadi hamba yang bermanfaat kepada orang lain. Juga menjadi khalifah Allah yang mentadbir muka bumi sesuai dengan kehendak-Nya. Firman Allah lagi:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
Al-Baqarah : 30
Bukan semua roh direzekikan atau diberi peluang untuk melalui peringkat-peringkat ini. Ada yang baru di peringkat alam rahim, telah kembali bertemu Tuhannya. Ada baru menjadi bayi, dipanggil semula. Begitulah seterusnya.
Kemudian roh itu akan mengalami satu alam di mana setelah dipisahkan rohnya daripada badan sementaranya. Di sana dia akan transit sebelum dibicarakan amalan-amalannya. Alam ini disebut sebagai alam barzakh. Roh-roh itu akan disoal akan apa yang dikerjakan ketika berada di dunia atau alam nyata.
لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ
"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)."
Al mukminun : 100
Setelah itu roh-roh dikumpulkan dengan jasad yang sementara tanpa pakaian. Di alam itu alam yang digelar hari mahsyar atau hari kebangkitan. Ketika itu roh-roh akan sibukkan hal sendiri tanpa memikir hal orang lain. Digambar bahawa roh-roh ini akan mencari syafaat yang sebanyak-banyaknya demi keselamatan mereka.
Setelah itu, roh-roh ini akan disebutkan perbuatan-perbuatan mereka satu persatu dan ditayangkan di khayalak manusia seluruhnya. Akhirnya diputuskan di mana dia akan berada. Sesuailah dengan firman Allah:
وَجَاءَتْ كُلُّ نَفْسٍ مَّعَهَا سَائِقٌ وَشَهِيدٌ
"Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: yang satu menjadi) pembawa, dan (yang satu lagi menjadi) saksi."
Surah Qaaf: 21
Yang terakhir, roh-roh ini akan berada di satu alam yang kekal selama-selamanya. Di alam ini hanya ada dua sahaja, Syurga atau Neraka!
وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الأُولَىٰ
“Dan sesungguhnya akhirat itu jauh lebih baik daripada sebelumnya.”
Ad-dhuha: 4
Berbahagialah roh-roh yang kembali pulang ke negara asalnya dengan keadaan yang selamat. Manakala celakalah keadaan roh yang kembali didalam keadaan yang menjerumuskannya kedalam neraka yang kekal abadi. Wal'iyazubillah.