Didatangkan Pelbagai Orang Untuk Mengenal Kehebatan Mursyid
Di akhir era Rufaqa, Abuya datangkan Dr Mahmud, berbangsa Arab Uzbek dari Madinah, untuk berkongsi dengan kita bagaimana hubungan murid dengan mursyid, apa beza murid dan murad. Kerana itulah dia didatangkan. Supaya kita berperasaan yang sepatutnya pada Abuya. Kata Abuya, bangsa Melayu adalah bangsa baru. Sebelum ini mana pernah ada Mursyid, tiba-tiba didatangkan. Terpinga-pingalah roh Melayu yang baru ini. Tetapi bagi bangsa Arab, dari zaman Rasulullah lagi mereka dah diajar adab-adab bermursyid, adab-adab dengan pemimpin. Jadi bersabarlah Abuya dengan karenah kaumnya yang baru, yang tak pernah datang sebelum ini petunjuk pada mereka. Kata Sayyidina Ali (Allah memuliakan wajahnya) ;
"من لا شيخ فشيطان شيخه"
Ertinya: "Barangsiapa yang tiada guru, maka syaitanlah gurunya."
Erti guru disini ialah Mursyid yang memimpin hati, yang menyelamatkan di dunia dan di akhirat. Brother Said, dari London didatangkan Abuya untuk memperlihatkan bagaimana bangun malam Abuya. Dia datang hanya semata-mata untuk itu, bercakap tentang bangun malam. Di dalam ingatan-ingatannya banyak hal-hal berkaitan bangun malam dan tahajjud. Abuya, demi keselamatan pengikutnya sanggup berbuat apa sahaja asalkan kita semua dapat diselamatkan. Begitu hebat sekali pengorbanan Abuya. Sepatutnya kita nampak kehebatan Abuya, bukan orang lain.
Sebelum itu Abuya tunjuk kepada kita ada seorang arab yang bermursyidkan Abuya. Abuya nak tunjuk bagaimana orang yang lurus hati kepadanya. Bahkan dia yang menceritakan minda Abuya jika kita pergi bertemunya. Dia ialah Syeikh Mustafa. Dia adalah murid Abuya daripada Jordan. Segala kata-katanya adalah minda Abuya. Dia buka kitab pun untuk menguatkan minda-minda Abuya. Rugilah kita sekadar melihat Abuya yang fizikalnya sahaja.
Abuya juga tunjukkan kepada kita seorang lagi anak muridnya berbangsa Arab, berkedudukan tinggi di kalangan masyarakatnya. Dia adalah Ummu Anas. Isteri kepada Timbalan PM Jordan. Hatinya kepada Abuya sangat luar biasa. Apa-apa sahaja yang berlaku padanya dirasakan semuanya daripada Abuya. Dia lebih melihat Abuya itu pada rohnya. Tawasulnya lebih 'hangit' daripada anak murid Abuya yang berbangsa Melayu. Walaupun dia seorang wanita, bertarung dengan masalah kesihatan, tetapi luar biasa pengorbanannya kepada Abuya dan jemaahnya.
Baru-baru ini, selepas Haji Akbar kita didatangkan Abuya seorang perempuan. Ibu Lenny namanya. Setelah setahun dia dipimpin Abuya secara ghaib, akhirnya dia ditemukan dengan jemaah GISB di Haramain. Abuya nak tunjukkan bahawa dia pemimpin ghaib dan terus memimpin dalam keadaan ghaibnya. Dia datangkan seorang murid yang dipimpinnya, tak sama macam kita. Abuya pandu dia dalam masa setahun untuk menggunakan power karomah Mursyidnya. Sampai di Istana, baru dia tahu selama ini yang memandu dan memimpinnya adalah orang yang berada di dalam gambar (iaitu Abuya) yang dilihatnya. Power yang dia guna selama ini, itulah Power Kaabah yang Bonda Wasilah perkenalkan kepada kita. Rupa-rupa, dia didatangkan Abuya untuk memberitau kita bahawa Abuya terus memimpin secara ghaib dan Abuya nak sampaikan bahawa Power Kaabah itu datang dari Abuya. Inilah yang cuba dinafikan selama ini oleh TH dan GBA.
Didatangkan oleh Mursyid semua ini, untuk membantu kita mengenali Mursyid melalui bahasa-bahasa mereka. Bukanlah mereka-mereka itu yang kita nak rujuk dan ikut. Mereka itu sama macam kita, perlu pimpinan. Bahkan apa yang Abuya beri pada kita lebih besar daripada apa yang ada pada mereka. Tapi oleh kerana kita dah lali, sampaikan sudah tak pandai menghargai Abuya. Maka didatangkanlah orang-orang Arab, Eropah, orang yang berada di luar jemaah, yang diberikan karomah pelik-pelik. Supaya dengan itu kita akan nampak kebesaran Abuya! Buktinya, Abuya dah berjaya bangunkan model Islam. Mereka-mereka yang didatangkan itu, melihat Abuya dan jemaah begitu hebat dan luar biasa. Maka perlu diingat, setiap yang didatangkan, adalah untuk diperlihatkan kebesaran Mursyid.
Janganlah kita jadi seperti murid-murid di dalam kelas, yang gurunya datangkan murid-murid dari sekolah lain sebagai motivasi di dalam kelas. Tapi kalau si murid tak kenal gurunya, dia salah berfikir, dia akan ambil murid dari sekolah lain sebagai gurunya. Apa yang berlaku nanti, dia tinggalkan cikgunya, tinggalkan kelasnya, ikut murid lain, akhirnya yang berlaku sama-sama main guli. Dua-dua rosak. Ilmu tak dapat, umur terbuang begitu sahaja.