MELAYU BARU ATAS NAMA ISLAM
Perkembangan sosial di Malaysia sangat menakutkan. Berita pembuangan bayi di merata tempat bukan lagi berita sensasi kerana sudah terlalu lumrah.
Pengalaman GISB membuka projeknya di 3/4 dunia menerima respon yang baik di kalangan masyarakat antarabangsa, yang kemuncaknya GISB bertapak membangunkan projek di Haramain.
Di kalangan masyarakat Arab mereka menyatakan, "kamu dari Malaysia bagaikan Malaikat". Begitu sekali mereka memberikan kepercayaan kepada umat Islam dari Malaysia. Sikap dan watak orang Melayu dikenali sebagai kaum yang cukup bersopan santun. Bukan berwatak ganas dan kasar. Orang Melayu cukup lunak dalam serba serbi. Bukan kasar seperti orang Timur Tengah, orang Pakistan, orang Iran, orang Afrika.
Kita mendengar komentar masyarakat antarabangsa meluahkan kepada kita, bila mereka tahu kita dari Malaysia. Apa yang Abuya kongsikan dengan kita, peperangan di Afghanistan, kematian di kalangan mereka hasil peperangan sesama sendiri lebih banyak jika dibandingkan kematian hasil berperang dengan Rusia. Ini kerana watak bangsa yang emosional, kasar, pemarah dan kurang toleransi.
Hasilnya, perang saudara merata-rata. Begitulah juga di India, Pakistan, dan lain-lain negara lagi.
Bila kita perhatikan perkembangan semasa, sekarang Malaysia bukan lagi Malaysia. Bukan saja kita sudah menjadi bangsa yang kasar, tetapi sudah menjadi bangsa yang telah hilang rasa malu. Dulunya bangsa Melayu yang dikenali sebagai bangsa yang bersederhana, daripada wataknya, sikapnya, akhlaknya, masyarakatnya dan lain lain. Kini semuanya ibarat telah hilang daripada bangsa Melayu. Baginda Rasul SAW ada bersabda:
الحَيَاءُ من الإِيْمَان
Malu adalah sebahagian dari iman.
Abuya juga ada bagi panduan bahkan sudah pun dibukukan tentang konsep, "Kesederhanaan Menurut Islam". Kini watak 'SEDERHANA' itu telah hilang daripada bangsa melayu.
Sabda baginda lagi;
خَيْرُ الأُمُوْرِ أَوْسَاتُهَا
Sebaik-baik perkara ialah pertengahannya (sederhana).
Kini, bangsa Melayu yang tinggal adalah bangsa Melayu yang telah berubah wataknya. Ada yang kasar terlebih kasar, yang malu tidak bertempat, berani bukan pada masanya, penakut terlalu ketara, cakap besar setiap masa. Inilah watak Melayu yang bukan Melayu lagi.
Sempena kedatangan tahun baru Hijrah ini, marilah kita memasang azam baru. Moga-moga ditangan kita orang Melayu baru atas nama Islam, yang belum pernah menerajui empayar Islam akan menjadi penaung kepada dunia. Hanya bangsa Melayu sahaja yang belum pernah menjadi empayar, menguasai dunia atas nama Islam. Insya Allah, ianya akan berlaku tidak lama lagi. Melayu baru yang bersama Islam.