MALAYSIA BARU IALAH MALAYSIA ISLAM
Sekitar akhir tahun 1970-an, Abuya telah mewujudkan model kehidupan Islam. Diwaktu itu, jemaah telah mewujudkan klinik bersalin, pasaraya, kilang kicap, kilang sos, sekolah, perkampungan Islam, kilang mee, percetakan dan beberapa projek lain. Ertinya, sudah lebih 40 tahun model Islam Abuya telah wujud di Malaysia.
Di dalam masyarakat Islam yang Abuya cetuskan, setiap permasalahan ada jalan keluarnya. Islam itu ada cara sendiri untuk menyelesaikan masalah. Islam tidak merujuk ke timur dan barat, kerana ia datang dari Tuhan. Islam merujuk kepada model yang dilahirkan oleh Baginda Rasul yang berlangsung sekitar 300 tahun. Zaman-zaman itu disebut zaman Salafussoleh. Bermula dari era Baginda, hingga ke zaman Sayidina Umar ibnu Aziz. Sesuailah dengan sabda Baginda;
“Sebaik-baik kurun ialah kurunku, kemudian kurun selepasku, kemudian diikuti kurun yang mengiringi kurun selepasku”.
Model yang telah Abuya buat dan lagangkan, adalah merujuk kepada kebangkitan Islam kali pertama. Abuya tidak mereka-mereka, bahkan sangat merujuk kepada sejarah Islam dan hadis-hadis Rasulullah SAW dalam membina model Islamnya. Jadi tidak hairanlah sekiranya Abuya berjaya mewujudkan model Islam, kerana Abuya mengambil semuanya daripada Islam. Abuya tidak merujuk ke mana-mana selain Islam. Bahkan Islam Abuya sangat diterima oleh masyarakat dunia sekalipun yang bukan Islam. Itulah yang berlaku pada model Islam di kebangkitan Islam yang pertama. Semua bangsa sangat menerimanya sekalipun bukan Islam.
Sesiapapun yang nak membangunkan Islam di kebangkitan kali ke dua ini, tidak boleh mengelak dari meniru dan merujuk serta menyalin kebangkitan Islam yang pertama. Tidak boleh hanya sekadar bercakap Islam dan manusia hanya seronok dengan kata-kata itu, seorang pendakwah mesti melahirkan model. Jika tidak, kata-katanya sekadar bahan gelak ketawa, hiburan politik, bahkan yang lebih dahsyat lagi menerima kutukan dan ancaman dari Tuhan. Wal'iyazubillah. Tuhan ingatkan di dalam Al-Quran pada surah As-Shaf ayat 2-3:
"يا أيها الذين ءامنوا لم تقولون ما لا تفعلون، كبر مقتا عند الله أن تقولوا ما لا تفعلون"
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu berkata apa yang tidak kamu lakukan?! Besar kemurkaan Tuhan jika engkau berkata apa yang tidak engkau lakukan!”
Jadi perlu diingatkan, untuk melahirkan sebuah model Islam, samada peringkat jemaah, kampung, bandar, atau negara; perlulah merujuk kepada apa yang telah Rasulullah bangunkan. Tidak boleh kita mereka-reka sendiri samada mengambil dari timur atau barat. Bahkan kalau merujuk Al Quran sahaja tanpa mengambil panduan daripada Rasulullah, ia hanya tulisan. Sedangkan yang sangat faham Al Quran adalah Rasulullah dalam melaksanakannya. Ini adalah ingatan dan panduan bagi mereka yang mencari jalan keluar kepada permasalahan yang ada menurut Islam.