KEAJAIBAN ROH SUCI

Pengertian roh atau definasi roh. 

Kalimah roh ini berasal daripada bahasa Arab. Ertinya nyawa, jiwa, rohani, tidak berbenda, tidak berjisim. Wujudnya dapat dirasa oleh hati, dapat dikesan oleh akal tetapi tak boleh dipegang dan dilihat dengan anggota lahir. Roh orang-orang soleh kelihatan cantik berseri, manakala roh-roh yang jahat keadaannya suram dan tidak tenang.

Dalam surah Al-Isra', Tuhan berkata mengenai roh apabila baginda ditanya mengenainya. Maka kata Tuhan di dalam Al-Quran; 

“dan mereka bertanyakan tentang roh. Katakan: “Roh itu dari urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

Menurut ilmu Asbab Nuzul, turunnya ayat tersebut ialah ketika Rasulullah ditanya oleh Yahudi tentang roh. Maka Allah turunkan ayat tersebut untuk menjawab pertanyaan yang ditimbulkan oleh orang Yahudi itu.

Maksudnya, Tuhan tidak berikan ilmu tentang roh pada semua orang. Hanya diberikan kepada Rasulullah SAW dan kepada mereka yang Rasulullah kehendaki. Menurut imam Al-Ghazali, dalam bab menghuraikan hati atau roh; juga athar dari Sayidina Ali yang Allah muliakan wajahnya;

إنَّ في جسدٍ مضغةٌ، إذا صلحتْ صلحَ جسدُ كلُّ و إذا فسدتْ فسدَ جسدُ كلُّ . ألا وهي القلب

"Di dalam diri manusia ada segumpal darah. Jika baik ianya maka baiklah seluruh jasad. Jika 
buruk ianya maka seluruh anggota adalah buruk, ketahuilah oleh mu bahawa itulah hati."

Sabda Baginda Rasulullah saw : 

منْ رأني في المنامِ فسيراني في اليقظةِ، فإنَّ الشيطانَ لا يتمثّلُ بي


“Barang siapa yang melihat aku di dalam mimpi, dia akan melihatku secara jaga. Sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupaiku” 
(kitab Hasyiah Abi Jumrah, syarah Hadis Bukhari)

Daripada nas-nas di atas, sangat jelas menceritakan tentang roh. Apa ertinya, di mana letaknya, apa peranannya, dan apa kemampuannya. Roh adalah satu ciptaan yang sangat ajaib. Kali ini kita akan berkongsi maklumat mengenai roh-roh yang suci atau ertikata lain roh-roh yang baik.

Roh yang suci ini, peranannya cukup hebat. Tetapi bukanlah mudah untuk menjadikan atau melahirkan roh seperti ini. Ianya perlukan latihan demi latihan agar ianya menjadi menjadi ciptaan yang sangat luar biasa.

Roh ini tidak terikat dengan ruang dan masa. Ia boleh berada di mana-mana, bila-bila masa, dan dengan siapa-siapa sahaja. Bila dikatakan roh itu urusan Tuhan, ertinya bukan semua mampu menghuraikan atau menceritakan tentangnya. Roh ini sangat berkait rapat dengan iman manusia. Baik rohnya begitulah imannya. Mantap imannya seperti itulah rohnya.

Bila dikatakan roh itu tidak terikat dengan ruang dan masa, ia boleh pergi ke mana-mana yang dia suka dengan izin Tuhannya. Banyak kejadian-kejadian yang akal tak boleh menerima tetapi roh telah membuktikannya.

Contoh roh yang tidak terikat dengan tempat. Ini terjadi pada Sayidina Umar Al-Khattab dan Panglima Sariyah. Semua sahabat yang mendengar khutbah menyaksikan bagaimana Sayidina Umar memberi arahan kepada Sariyah, sedangkan ketika itu mereka berada di berlainan tempat! Ini bukti yang cukup jelas bila Sariyah juga mendengar suara Sayidina Umar memberi arahan kepadanya seolah-olah dia bersamanya!

Contoh lagi ialah roh yang tidak terikat dengan masa. Ini terjadi kepada Imam Syafie. Ketika di usia mudanya, beliau diziarahi, dilawati, dikunjungi pembesar-pembesar dan penguasa, juga ulama-ulama datang meminta nasihat dan pandangan daripadanya. Dengan umur yang semuda itu, ia sangat menghairankan ibunya. Bagaimana anaknya begitu sekali kehebatannya. Bertanyalah si ibu kepada anaknya. 

Ibu: Mengapa aku lihat engkau sering dikunjungi orang-orang besar negara. Bahkan mereka meminta pendapat, nasihat, pandangan daripada engkau. Seolah-olah engkau orang yang istimewa.
Imam Syafie: Ibu ingat tak ketika ibu muda remaja, dan ibu ketika itu berada di padang pasir. Tiba-tiba ibu diserang haiwan liar yang boleh mengambil nyawa ibu.
Ibu: Ya, ibu ingat! 
Imam Syafie: Tiba-tiba datang seorang pemuda yang gagah menyelamatkan ibu daripada haiwan liar itu. Ibu ingat tak wajahnya?
Ibu: Ya. Ibu teringat. Wajahnya mirip kamu wahai anakku.
Imam Syafie: Wahai ibu, itulah saya yang datang menyelamatkan ibu!

Barulah si ibu faham bahawa anaknya bukan sembarangan manusia. Anaknya telah menyelamatkannya yang ketika itu si ibu masih seorang gadis remaja. Ini cukup luar biasa. Hanya orang yang memiliki kekuatan roh sahajalah dimampukan untuk melakukan kerja-kerja yang seperti ini.

Imam Ghazali dan Imam Sayuti, ketika mengarang kitab-kitab mereka, Baginda SAW sentiasa berada di sisi. Apa-apa sahaja masalah, Baginda akan berikan panduan dan penyelesaian. Mereka bersembang-sembang, bertanya-tanya, dan merujuk dengan Baginda Nabi sedangkan jasad Baginda telah lama disemadikan di Madinah.

Kalau begitu, tak hairanlah sekiranya baginda boleh datang kepada sesiapa sahaja yang baginda kehendaki. Juga boleh jadi kepada sesiapa yang rohnya luar biasa, direzekikan kepadanya pengalaman-pengalaman yang luar biasa.

Kalau begitulah halnya, apa masalahnya bila Bonda Wasilah sentiasa didampingi roh Rasulullah? Kalau itu yang baginda mahukan. Bonda Wasilah bukan seperti wanita-wanita lain. Dia sudah korbankan hidupnya kepada Islam. Tak hairanlah kalau Baginda Rasul sendiri yang pimpin tiap-tiap katanya, pimpin tiap-tiap tindakannya. Hanya akal yang rosak dan hati yang buta tidak boleh menerimanya.

Akal biasa tidak boleh menerimanya. Lagi-lagilah akal yang telah dirosakkan dengan pemikiran-pemikiran yahudi dan sekular. Takkan mungkin dapat mencungkil rahsia dan keajaiban roh. Lagi-lagilah untuk merasainya.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?