BAGAIMANA MENGAKTIFKAN ROH.
Bagaimana nak aktifkan ROH atau dengan kata-kata yang lain untuk aktifkan hati.
Apa perlunya kita memperjuangkan roh atau kita aktifkan roh? Bagi mengaktifkan roh kita kena tahu apa yang menjadi keperluannya atau makanannya.
Marilah kita sama-sama mengkaji supaya kita sentiasa memikirkan dan berusaha menjaganya. Supaya bila diuji dengan segala bentuk, hati yang telah bersedia atau roh yang telah aktif ini, sentiasa dipandu untuk bertindak dan berperasaan. Supaya tidak mengulangi kesalahan-kesalahan dan tindakan-tindakan mereka yang telah kecundang; seperti TH dan GBA yang lalai dan cuai mengambil berat tentang perkara hati atau soal roh ini.
Dalam Islam kita diminta untuk menjaga akal dengan diberi makanannya iaitu ilmu, menjaga fizikal dengan diberi makanannya iaitu nasi, roti dan lain-lain, dan makanan roh atau hati ialah zikrullah sebagaimana disebutkan dalam al-quran :
الا بذكرالله تطمئن القلوب
"ketahui olehmu dengan mengingati Allah hati menjadi tenang".
Hati atau roh juga boleh dikiaskan sebagai sistem enjin kereta. Nak hidupkan hati macamlah nak hidupkan sistem enjin kereta. Mula-mula perlu bateri kereta. Bila dah hidup perlu minyak untuk aktif bergerak. Bateri perlu dijaga dan jangan disalahgunakan. Bagaimana mahu menjaga supaya tidak disalah guna?
Umum kita tahu sebuah kereta, secanggih mana pun kalau tidak ada bateri, tidak akan boleh bergerak, kerana bateri itu salah satu komponen utama dalam sistem enjin kereta. Tanpa bateri, sistem enjin tidak boleh dihidupkan walaupun minyaknya penuh. Atau kalau bateri ada tapi lemah pun tetap tidak boleh 'start'.
Cara menjaganya ialah; kalau bateri itu jenis sel basah, kita periksa airnya. Kalau kurang kenalah ditambah. Tengok tarikh luputnya bila. Jangan biarkan lampu menyala atau apa-apa alatan lain dihidupkan jika enjin tidak bergerak. Kalau lampu menyala sentiasa, tidak ikut keperluannya samada siang atau malam, boleh melemahkan bateri. Begitulah yang lain-lainnya.
Begitulah ibaratnya hati. Demi menjaganya, perlu pelihara hal-hal yang berkaitan dengan sistem hati itu. Contoh, mata kena jaga pandangan. Jangan tengok maksiat dan perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah. Telinga, jangan mendengar perkara yang sia-sia lebih-lebih lagi yang haram. Begitulah mulut dan lain lain anggota badan kita. Anggota-anggota badan itu ada kaitan dengan sistem hati.
Ketahuilah! Orang mukmin, sangat menjaga roh mereka. Bagaimana mahu mengaktifkan roh sekiranya perkara-perkara yang berkaitan dengan roh tidak dijaga? Ibarat kereta, bagaimana mahu enjin dihidupkan kalau bateri lemah atau tidak dijaga?
Kalau tidak dijaga bateri jiwa ini, bagaimana kereta perjuangan mahu digunakan? Bagaimana mahu melepasi lopak-lopak ujian, lubang-lubang dan perangkap dalam perjuangan? Hebat dan canggih sekalipun persediaan, bateri tidak dijaga, akhirnya semuanya sia-sia. Apalah nak dibangga-banggakan dengan harga kereta yang mahal, enjin yang canggih, tapi bateri tiada atau lemah keadaannya.
Sepertilah TH dan GBA bangga-banggakan dengan ANGKA TT yang besar, tapi banyak perkara terabai. TH lebih membelek team elitnya, sedangkan anak-anak buah sebelum ini perlukan kehadiran TH dalam memberikan kekuatan pada mereka. Rupanya TH lupa menjaga hati-hati mereka, kerana hati TH pun sudah terlalu lemah dengan mursyid. Ibarat bateri kereta yang tidak dijaga dan tak terhubung dengan komponen-komponen yang lain, bagaimana mahu menggerakkan sebuah kereta walaupun kereta itu secanggih-canggih kereta?
Demi menjaga hati, Abuya telah pun memberikan panduan dan bimbingan, didikan dan pengajaran buat kita. Apabila kita ikut panduan dan bimbingan dari mursyid dan lakukan amalan tambahan iaitu pakej harian dengan zikir agung, dan setiap malam Jumaat dan malam Isnin iaitu membaca Dibae dan juga membaca Berzanji, semuanya menekankan persoalan rohaniah. Supaya roh kita subur atau diberi makan dengan zikrullah.
Zikrullah yang benar-benar dirasa, bukan setakat di mulut dan di akal. Nak dapat zikrullah rasa itu perlu latihan, perjuangan, pengorbanan, ujian, dan lain lain langkah praktikal yang dipandu oleh mursyid. Agenda utamanya adalah melawan nafsu habis-habisan. Kerana roh dan nafsu tak akan duduk sekali.
Apabila hati atau roh telah diberi makan atau telah disuburkan maka akan terbina sifat-sifat mahmudah (terpuji) dan akan dapat membuang sifat-sifat mazmumah ( terkeji ) yang ada dalam diri manusia yang bertapak pada roh manusia.
Apabila roh telah dijaga, peranannya sangat luar biasa. Ia menjadikan seseorang itu terhubung dengan Tuhannya. Hatinya, perasaannya, fikirannya, tindakannya, sangat terhubung dengan Tuhan.
"Bila telah menjadi orang ROH atau dengan kata-kata yang Allah sebut dalam Quran iaitu menjadi orang yang bertaqwa atau menjadi orang yang beriman, maka layaklah mendapat bantuan Allah."
Dalam Islam Allah hanya membantu atas dasar Taqwa, perkara ini Allah sebut dalam Al-Quran sebagaimana firmannya:
والله ولي المتقين
"..dan Allah pembela orang-orang bertaqwa"
Dalam ayat yang lain ada disebutkan:
والله ولي الموئمنين
"..dan Allah adalah pembela bagi orang yang beriman"
Tidak ada Allah mengatakan untuk membantu atau menolong orang Islam. Para wali adalah kekasih-kekasih Allah, termasuk dalam golongan yang sangat hampir dengan Allah ( Muqarrabin ). Firman Allah :
الا ان اولياء الله لاخوف عليهم ولاهم يحزنون
"Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah mereka tidak takut dan tidak berdukacita."
Allah perjelaskan lagi dalam hadis Qudsi yang bermaksud:
اتقوا فراسة المؤمن، فإنه ينظر بنور الله
"Takutilah firasat orang mukmin, kerana dia melihat dengan cahaya (pandangan) Allah".
Memuliakan mereka bererti memuliakan Allah bilamana menghina mereka bererti juga menghina Allah. Sebab itu Allah juga berfirman dalam hadis qudsi yang lain:
من أذاني وليا فأذنته بالحرب
"Barang siapa memusuhi wali-KU, maka AKU akan mengistiharkan perang terhadapnya."
Rasulullah ingatkan lagi senjata yang bersifat rohaniah ialah doa :
الدعاء صلاح المؤمنين
"Doa adalah senjata orang mukmin"
Dalam tahlil, kita membaca dan menyebut :
رجال الله ٢ ياهو أغيثونا لاجل الله يا هو
"wahai orang Allah bantulah kami kerana Allah."
Jadi jelaslah disini bahawa mengapa perlu roh atau hati dihidupkan atau diaktifkan. Kerana pandangan Tuhan kepada hamba-hambanya ialah pada hatinya atau rohnya. Untuk mendapatkan pertolongan Tuhan juga, perkara yang dilihat Tuhan ialah bagaimana hati seseorang hamba atau rohnya. Kerana itulah syarat untuk mendapatkan bantuan-Nya, hati yang rasa sebenar-benar hamba.