Ikhwan Itu Peka Dan Mengambil Pengajaran

Abuya sering ingatkan kita, memang Allah akan timpakan ujian atas setiap orang. Lebih-lebih lagi ke atas orang mukmin dan orang-orang yang berjuang, Allah akan uji dengan ketakutan dan kekurangan. Kita juga sering dingatkan supaya sentiasa tahan diuji. Para ikhwan dan asoib adalah pejuang-pejuang Islam yang rohnya aktif.

Mereka adalah orang-orang yang sanggup menanggung keperitan dan kesusahan. Juga adalah abid di malam hari yang kerjanya menghitung-hitung dosa. Abuya juga ingatkan; tidak dapat mencari dosa yang perlu ditaubatkan, ia adalah dosa. Kalau bukan seorang Mursyid membimbing dan memandu hati atau roh kita, sudah tentu kita hidup terumbang ambing bagaikan kapal layar di lautan yang luas, kehilangan arah kerana kompas yang memandu sudah rosak. Kapal sudah kehilangan panduan berlayar di lautan luas bagaikan tak bertepi.

Allah telah menyediakan berbagai kemudahan ilmu, petunjuk, pimpinan, dan pemimpin di setiap zaman untuk membawa manusia ke jalan yang lurus. Bila kita sudah buta hati, atau roh sudah tidak berperanan apa pun yang berlaku kita tidak pandai untuk ambil pengajaran. Mursyid kita mengajarkan pada kita apa-apa yang baik kita teruskan dan kembangkan atau kita jadikan panduan sekali pun dari hamba sahaya. 

Malangnya kita tidak ambil peduli. Hanya melihat dengan mata, tahu sejarah tentang azab-azab Allah yang telah berlaku di atas dunia, tapi buat-buat tak tahu. Laut Mati yang sejarahnya sangat menggerunkan itu tidak dipedulikan, tidak diambil iktibarnya. Ramai manusia melihat dan berkelah di sekitar Laut Mati, bahkan sekarang sedang dibina projek penginapan bertaraf dunia di sana.

Ada kaum juga diceritakan dalam Quran yang mampu menarah bukit batu dan mengukirnya jadi tempat tinggal yang begitu gagah, iaitu kaum Tsamud. Kaum Ambat ( Nabatean ) kesan tinggalannya juga di Jordan. Kaum Ambat ( Nabatean ) yang belajar tamadun tersebut dari kaum Thamud dan sistem pengairan yang mereka pelajari dari tamadun kaum Ahqaf dari Yaman. 

Allah pernah utuskan Nabi Soleh kepada kaum Ad' dan Tsamud. Kesan tinggalan kaum Tsamud di Madain Salleh (lebih kurang 400km utara Madinah, Arab Saudi). Pada zaman itu, Allah utuskan Nabi Salleh AS untuk dakwah kaum Tsamud kepada Tauhid tetapi mereka engkar dan mendapat balasan seksa (bala) dari Allah. Juga Tuhan kekalkan kesan peninggalan mereka supaya generasi kemudian boleh mengambil pengajaran dan pelajaran.


وَاذْكُرُوا إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاءَ مِن بَعْدِ عَادٍ وَبَوَّأَكُمْ فِي الْأَرْضِ تَتَّخِذُونَ مِن سُهُولِهَا قُصُورًا وَتَنْحِتُونَ الْجِبَالَ بُيُوتًا ۖ فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ


"Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi".
Al-A'raaf: 74


Kaum Ambat ( Nabatean ) tinggalannya Juga kita boleh saksikannya sekarang di Petra Jordan. Namun bila hati buta, mata celik pun tak berguna, hanya mendapat ilmu atau maklumat tentang sejarah mereka. Walaupun kita mendengar dan mengetahui, namun bila telinga roh telah pekak dan fikiran tidak di-Islamkan, maka pendengaran dan pengetahuan tersebut tidak dapat mengubah diri. Apa yang berlaku pada generasi terdahulu, sedikitpun tidak memberi iktibar kepada generasi kemudian. Panduan yang Abuya berikan pada kita, mana-mana yang baik kita ambil dan yang buruk dijadikan sempadan.


Ertinya jalan keselamatan untuk generasi berikutnya itu sangat luas:

1. Didikan, bimbingan, latihan dan pemindahan ilmu/pengalaman dari generasi sebelumnya.

2. Iktibar yang dikekalkan pada alam dan yang termaktub dalam Al-Quran dan Hadis serta kitab-kitab dari generasi terdahulu.

3. Pimpinan dan didikan dari wakil-wakil Tuhan yang didatangkan kepada setiap generasi. Setiap 100 tahun sekali Allah datangkan mujaddid dan teamnya. Ertinya setiap generasi pasti merasakan pimpinan mujaddid, samada di awal atau di akhir kemunculan mujaddid itu.

4. Untuk akhir zaman ini, adanya teknologi canggih seperti teknologi maklumat, teknologi pengangkutan, dan lain lain, lebih memudahkan lagi manusia mendapat ilmu, didikan, pimpinan dan iktibar dari seluruh dunia ini. Contohnya: bila berlaku sahaja tsunami di Aceh, Taufan Sandy di Amerika Syarikat, sekejap sahaja seluruh dunia mengetahuinya. Sedangkan pada zaman-zaman terdahulu, umat berikutnya akan mendapat maklumat masa lalu dari Nabi-Nabi yang Allah utuskan beberapa ratus tahun sekali. Namun di zaman ini peranan Nabi-Nabi dalam hal membawa maklumat  itu telah diganti oleh teknologi maklumat yang Allah rezekikan kepada umat akhir zaman.

Begitulah sistem keselamatan dan maklumat yang Allah sediakan kepada umat manusia. Barangsiapa mengambilnya dengan tepat, insya Allah dia selamat di dunia dan akhirat. Ini adalah sunnatullah yang tak dapat disanggah. Kita kena akur, menerima, redha dan bersetuju dengan sistem Allah ini dan melaksanakan sistem ini dengan setepat-tepatnya. Supaya kita benar-benar mendapat hasil yang selamat dan menyelamatkan sebagaimana yang Allah mahu.







Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?