Serikandi Dan Bidadari Adalah Orang Yang Sama

Tuhan tawarkan lelaki untuk mati syahid di medan juang. Wanita pula tidak ada tawaran begitu. Tapi wanita diminta  memberi sepenuh ketaatan dan khidmat kepada suami. Kalau isteri boleh lakukan begini, maka suami akan dapat  rasakan sudah ada bidadari dalam hidupnya.

Ada hadis yang menyatakan:

حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ عَوْنٍ ، أَخْبَرَنَا إِسْحَاقُ بْنُ يُوسُفَ ، عَنْ
شَرِيكٍ ، عَنْ حُصَيْنٍ ، عَنْ الشَّعْبِيِّ ، عَنْ قَيْسِ بْنِ سَعْدٍ ، قَالَ : أَتَيْتُ الْحِيرَةَ فَرَأَيْتُهُمْ يَسْجُدُونَ لِمَرْزُبَانٍ لَهُمْ ، فَقُلْتُ : رَسُولُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُسْجَدَ لَهُ ، قَالَ : فَأَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقُلْتُ : إِنِّي أَتَيْتُ الْحِيرَةَ فَرَأَيْتُهُمْ يَسْجُدُونَ لِمَرْزُبَانٍ لَهُمْ ، فَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ نَسْجُدَ لَكَ ، قَالَ : " أَرَأَيْتَ لَوْ مَرَرْتَ بِقَبْرِي أَكُنْتَ تَسْجُدُ لَهُ ؟ " قَالَ : قُلْتُ : لَا ، قَالَ : " فَلَا تَفْعَلُوا ، لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ النِّسَاءَ أَنْ يَسْجُدْنَ لِأَزْوَاجِهِنَّ ، لِمَا جَعَلَ اللَّهُ لَهُمْ عَلَيْهِنَّ مِنَ الْحَقِّ " .

Qais bin Sa'ad RA berkata: Aku pergi ke al-Hirah, lalu aku mendapati penduduk di sana sujud kepada Gabenor jajahan Parsi. Aku berkata: Rasulullah lebih berhak untuk disujudi. Beliau berkata lagi: Aku pun pergi kepada Rasulullah lalu berkata: Sesungguhnya aku telah pergi ke al-Hirah dan aku mendapati mereka sujud kepada Gabenor mereka. Sesungguhnya engkau wahai Rasulullah lebih berhak untuk disujudi. 

Lalu Baginda menjawab: Apakah jika engkau lalu di kuburan ku, maka engkau akan sujud kepadanya? Jawab beliau: Kata aku: Tidak. Kata baginda lagi: Jangan engkau lakukan hal tersebut. Seandainya aku mahu menyuruh seseorang sujud kepada seseorang yang lain, nescaya akan ku suruh kaum wanita untuk sujud kepada suami mereka, kerana Allah telah memberikan hak kepada kaum lelaki ke atas kaum wanita.
[Sunan Abu Daud, Kitab Nikah, Bab Hak Suami Ke Atas Isteri, no : 1832]




Ertinya; peranan isteri sebagai  bidadari yang taat, khidmat dan menghiburkan suami itu sangat penting. Kalau tidak masakan Baginda Rasul sendiri yang menggambarkan sedemikian rupa. Namun ianya tidaklah sampai membuatkan wanita itu jadi jumud dan tidak ada peranan dalam perjuangan. Kerana ketaatan kepada suami itu tidak hanya setakat pada peribadi suami. Suami yang berjuang akan salurkan ketaatan isteri itu untuk Islam. Bukan untuk peribadinya semata-mata.

Dulu kita tidak faham begitu, bila Rasulullah bagi panduan begini barulah kita faham bahawa  di rumah tidak boleh ada bidadari sahaja. Rupanya peranan bidadari kena selari dengan peranan serikandi yang berjuang. Pakejnya kena lengkap, yakni adanya peranan serikandi yang dilengkapkan dengan peranan bidadari pada dirinya. Bukan terasing, bukan pada dua orang, tapi pada seorang isteri. Setiap isteri itu kena jadi bidadari dan serikandi dalam dirinya sekaligus. Berkhidmat untuk suami di rumah, berjuang untuk Islam ketika tidak bersama suaminya.

Inilah yang Rasulullah lakukan kepada para isterinya. Baginda mendidik isteri-isterinya hingga sangat taat padanya dan sanggup berbuat apa sahaja untuk Rasulullah dan perjuangannya. Lihat apa kata Sayidatina Khadijah sebaik saja dia  berkahwin dengan Nabi Muhammad saw, 

"Bermula sekarang saya adalah hamba Tuan, seluruh harta saya adalah milik Tuan, saya juga milik Tuan, dan saya menunggu perintah Tuan".

Dan apa pula kata Sayidatina Khadijah ketika menjelang wafatnya, 

"Wahai Rasulullah, jika saya mati dan tulang belulang saya boleh digunakan untuk perjuangan Islam maka gunakanlah".

MasyaAllah mulianya hati Sayidatina Khadijah, berjuang dan berkorban habis-habisan untuk Islam, hingga tulang-belulangnya pun minta dikorbankan.

Selama ini apa yang para suami dan para isteri faham, peranan serikandi dan bidadari itu untuk orang berlainan. Maka  isteri yang aktif berjuang di luar rumah lebih  berwatak sebagai serikandi dan senantiasa sebagai serikandi hatta di bilik tidur suami sekalipun. Perbualan, tingkah laku semuanya hanyalah kerja, kerja, dan kerja. Bagaimana menyelesaikan masalah ini dan itu, dan lain-lain. Hinggalah perkara-perkara seni ketika bersama suami, sebagai pemimpin rumah tangga dan isteri sebagai bidadari hampir dilupakan.cKesibukan perjuangan telah membuat suami isteri itu tidak pandai mengimbangkan. 

Adakalanya setelah lama berpisah dan sebelum bertemu, masing-masing ada keinginan untuk bermanja-manja satu sama lain. Namun harapan-harapan indah itu kadang-kadang habis musnah, kerana sampai-sampai saja, berbual dengan suami yang bertindak sebagai bos atau majikan yang menunggu laporan kerja dari buruhnya. Muncul-muncul saja di depan suami, akan dihujani pertanyaan: Apa perkembangan kerja? Bagaimana assignment ini dan itu. Projek A, B  itu macamana?  Atau suami akan berceloteh sepanjang malam bercerita tentang perkembangan perjuangan dia. Si isteri pula sibuk buat laporan tentang kerja perjuangannya di luar rumah. Sedikit sekali waktu dan perhatian untuk perasaan dan  peribadi suami dan isteri yang sama-sama berwatak pejuang.

❝Bila peranan serikandi saja yang menonjol, maka di luar, di dalam rumah, hatta di bilik tidur pun, perbualan, pemikiran hanya berkisar soal aktiviti perjuangan. Corak hidup sentiasa dalam suasana perang, hingga seni-seni berkhidmat dan menghiburkan suami agak diabaikan.❞

Kerana tradisi ini saja yang disuburkan, maka wanita yang berjuang itu berfikir; memang beginilah kehidupan suami-isteri pejuang. Pada mulanya, wanita itu mungkin juga sangat menderita dengan cara hidup begini, namun lama-lama dia akan terbiasa begini. Perkahwinan yang begitu keras, hambar, tidak ada seni-seni keindahan antara suami-isteri. Tidak seimbang antara watak serikandi dan bidadari itu akhirnya menjadi kebiasaan.

Keadaan  perkahwinan yang lebih bercorak serikandi pejuang itu terus berpanjangan, hingga akhirnya tertanam dalam fikiran dan perasaan, mungkin memang beginilah nasib suami-isteri pejuang. Si isteri serikandi akhirnya melupakan saja seni-seni taat dan khidmat pada diri suami itu kerana meletakkan diri sebagai isteri yang berperanan sebagai serikandi, sebagai kawan seperjuangan suami. Dia akan lebih serius berfikir bagaimana membantu perjuangan suami di luar rumah.

Inilah yang dirasai oleh para pemimpin dunia hari ini. Suami sibuk berpolitik, isteri pula sibuk berpersatuan. Awalnya suami yang suruh isteri bergelanggang dalam masyarakat, untuk membina pengaruh suami. Jadikan isteri sebagai senjata perjuangan. Tapi akhirnya senjata makan tuan. Isteri yang dibina sebagai serikandi, sayap kiri perjuangan lama-lama  menjadi asyik berpersatuan, tidak ada masa pula untuk taat, khidmat dan hiburkan suami. Suami balik rumah penat, kadang-kadang isteri pun belum balik dari berpersatuan. Kalau balik pun dah sama-sama penat. Tak peliklah ramai pemimpin dunia yang sanggup cari pelacur untuk mendapat hiburan, kerana isteri sudah tidak mahu melayan dan menghiburnya setiap kali diperlukan.

Apa yang berlaku akhirnya suami makan hati dan berulam jantung dengan isterinya ini. Bagi suami yang berpoligami, maka akan buat pengkhususan, ada isteri yang dibina menjadi serikandi, ada pula isteri yang dibina menjadi bidadari. Isteri yang serikandi dibina untuk membantu perjuangan di luar, urusan bisnis, urusan dakwah dan kepimpinannya. Yang bidadari pula mengurus hal-hal peribadinya, makan-minumnya, pakaiannya, sakit-sakit badannya dan lain-lain hal peribadi suami.

Biasa kita dengar ungkapan suami yang berpoligami: "Biarlah ada yang pergi perang, ada yang jadi jururawat, ada yang bantu kerja perjuangan suami, ada yang urus hal peribadi suami, tak payahlah berebut-rebut". Ungkapan ini sepertinya logik, namun boleh membuat isteri-isteri itu menjadi rosak. Ada yang terlebih serikandi, ada yang terlebih bidadari. Akhirnya tidak menjadi bidadari dan serikandi pada waktu yang sama dan pada diri orang yang sama.

Isteri yang serikandi, dia juga wanita yang punya perasaan, walaupun mungkin lebih menonjol dalam hal pemikiran dan perjuangan. Apabila pemikiran dan kerja perjuangannya saja yang dibina, akibatnya dia menjadi pejuang yang kasar, keras dan garang. Menjadi masalah kepada suami dan kepada masyarakat umum. Menjadi isteri yang pandai berdikari tapi kasar dengan suami, garang kepada anak buah dan masyarakat umum. Tidak pula menjadi serikandi seperti yang dikehendaki Islam.

Sebaliknya pula, isteri lain yang diharap suami menjadi  bidadari atau jururawat peribadi suami juga akan terasa kekurangan dari sudut perjuangan. Apabila jiwa juangnya lemah maka dia juga  akan menjadi masalah kepada suami dan masyarakat. Menjadi isteri yang asyik nak berkepit dan bergantung dengan suami, lalu mengikat dan menyusahkan suami. Tidak pula menjadi bidadari seperti yang dikehendaki Islam.

Dua-duanya  tidak menguntungkan suami, bahkan merugikan Islam. Malah menyusahkan dan menjadi masalah kepada perjuangan.
❝ Betullah Abuya kata, isteri kalau tidak dididik dengan Tuhan, di rumah rosak, di luar rumah pun rosak. Sedangkan bila dididik dengan betul, seorang isteri akan menjadi taat pada suami dan cinta pula kepada Islam. Jadilah mereka bidadari dan serikandi dalam waktu yang sama pada diri yang sama.❞
Alangkah indahnya kalau suami dan isteri mempunyai kefahaman dan perasaan yang sama dalam mewujudkan keluarga bahagia ini. Suami berwibawa dan bertanggungjawab, isteri-isteri pula dididik untuk menjadi serikandi dan bidadari secara serentak. Di rumah dia bidadari, di jalanan dia kawan, apabila suami buntu fikiran, si isteri memberi semangat dan dorongan.  Tidak ada pengkhususan antara setiap isteri. Masing-masing wajib berusaha untuk menjadi bidadari dan serikandi Islam.

Terima kasih Ya Allah Ya Rasulullah,  kerana mengajar, memahamkan, mendidik dan mengasuh para suami dan para isteri hingga faham bahwa seorang isteri itu wajib dan memang boleh berperanan menjadi serikandi dan bidadari serentak dalam satu masa pada diri satu orang.
Semoga kefahaman ini dapat  diamalkan.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?