RASUL MEMIMPIN IKHWAN DAN ASOIB SECARA ROH

Maha Hebatnya Tuhan sebagai Khaliq (Maha Pencipta) berhubung dengan hambanya (makhluk) iaitu ciptaannya melalui hati atau roh hambanya. Bila hati manusia sentiasa terhubung dengan Tuhannya maka fizikal manusia akan menerima kesannya. Bila hati sentiasa rasa takut maka samaada dikhalayak ramai atau bersendirian, di depan atau di belakang sama sahaja.Tapi bila hati atau roh terputus dengan Tuhannya apa yang akan berlaku di depan lain di belakang lain. 

Bagaimana cara supaya hati sentiasa terhubung dengan Tuhan? 

1. Kosongkan Hati 

Dalam hadis Qudsi Allah berfirman:

افْرِغْ قَلْبَكَ أَسْكُنُ فِيْهِ
Kosongkan hatimu Aku (Tuhan) akan berada didalamnya.

Kosongkan hati ertinya menyucikan hati dari segala sifat-sifat jahat. Dengan kata lain melemahkan dan menjinakkan nafsu sehingga nafsu menjadi Islam dan tak mengotori hati dengan sifat-sifat jahat. 

Rasulullah saw sangat mengingatkan kita supaya menjaga hati atau roh jangan dikotori atau dirosakkan. Dalam hadis Rasul saw bersabda: 

إن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد صلح كله واذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهي القلب

Sesungguhnya didalam diri manusia ada segumpal darah, apabila baik maka akan baiklah jasad fizikal dan apabila rosak maka rosaklah jasad fizikal seluruhnya ketahuilah itulah hati (roh).

Bila kita sentiasa menjaga kesucian roh atau hati ertinya kita sentiasa menjaga wadah tempat kita berhubung dengan Tuhan. 

2. Hubungkan Hati Dengan Orang Tuhan 

Dalam hadis ada disebutkan: 

الارواح جنود مجندة

Roh-roh itu umpama tentera yang berbaris (gambaran sangat terdisiplin). 


Roh-roh yang bersih itu sangat aktif, berdisiplin dan berhubung satu sama lain seperti tentera. Roh-roh para Ikhwan dan Asoib itu bersih, aktif dan terhubung dengan pemimpin mereka iaitu Baginda Rasul saw. Rasulullah saw yang akan terus memandu dan membawa hati Ikhwan dan Asoib itu kepada Allah.

Rasul dan orang-orang roh itu sangat hendak selamatkan kita. Roh mereka yang bersih dapat mengesan roh kita dan nak sangat menyelamatkannya. Lebih-lebih lagi Bonda Wasilah ar sangat hendak menyelamatkan kita semua. Cuma akal dan nafsu kita sangat tidak mengenali orang-orang roh. Sebab itu maksud baik mereka untuk menyelamatkan roh kita sering ditafsir dan diterima dengan negatif. Padahal Rasul dan para rijalullah itu akan mengikatkan roh kita kepada Allah. Abuya selalu ingatkan kita supaya pandai berterima kasih kepada orang-orang kerana jasa mereka sangat besar iaitu membawa hati kita kepada Allah. 

Cara mursyid mengikat anak muridnya tak sama, berbeza-beza antara seorang dengan seorang yang lain. Kesusahan, penghinaan, kesakitan, adalah diantara cara mursyid mengikat roh anak muridnya. Mursyid dapat melihat bagaimana tahap dan peringkat roh anak muridnya. Mereka bukan saja dapat melihat rupa lahir tapi juga rupa batin anak muridnya. 

Menurut Imam Al-Ghazali: "Al-khuluq dan Al-khalq kedua-nya digunakan. Misalnya si Fulan mempunyai khalq dan khuluq yang indah yakni indah lahir dan batin.Yang dimaksudkan dengan khalq adalah bentuk lahir, yang dimaksud dengan khuluq adalah bentuk batin. Kerana manusia terdiri dari tubuh yang dapat dilihat dengan mata lahir dan roh yang dapat dilihat dengan mata batin. 

Roh berbagai bentuk kata Imam Ghazali: 
  • Yang mengikut hawa nafsunya, rohnya berupa babi. 
  • Yang pendengki dan pendendam rohnya berupa binatang buas. 
  • Yang membenarkan membuat kemaksiatan rohnya berupa syaitan. 
  • Yang beramal soleh rohnya berupa roh manusia yang sempurna adalah sama dengan jasadnya yang terbaik. 

Imam Malik berkata: " Roh manusia yang soleh itu sama saja rupa bentuknya dengan jasad lahirnya." 

3. Cara-Cara Mengaktifkan dan Mensucikan Hati 

a. Supaya sentiasa aktif, suci dan bersih, hati perlukan perhatian dengan selalu digilap. Iaitu dengan segala pakej ibadah berjemaah yang telah ditetapkan. Bila kita lakukannya dengan istiqomah akan membantu menggilap hati. 

b. Banyakkan mengambil berkat kepada Bonda Wasilah ar atau mereka yang telah diiktiraf dan berkongsi rasa-rasa yang telah mereka miliki. 

c. Beramal soleh dalam pimpinan orang-orang roh, amalan yang ada roh, bukan amalan bangkai. Bila hati kotor kerana proses atau didikan rohani tak berlaku, maka apa pun yang kita amalkan atau lakukan dikira bangkai kerana tidak ada rohnya. Jadilah sembahyang bangkai kerana tiada rohnya, sedekah dan pengorbanan bangkai kerana tak ada roh begitulah contoh seterusnya. Kata hukama: 

العَمَلُ بِلَا رُوْحٍ كَشَجَرَةٍ بِلَا ثَمَرَةٍ

Amalan yang tiada rohnya saperti pokok yang tidak berbuah.

Amalan yang tidak ada roh dikira bangkai, maka amalan yang sedemikian Tuhan akan lempar kemuka kita semula. 

d. Memperbanyak ilmu dan didikan roh dari mursyid. Bersedia dan taat setaat-taatnya kepada semua arahan mursyid sekalipun nampak tidak lojik. Manusia kalau tidak dididik roh atau hatinya hanya diperkenalkan ilmu lahir atau syariat-syariat lahir sahaja, lebih mudah hendak menghukum orang lain dari hendak membetulkan diri. Orang lain bersalah nampak dan cepat hendak menghukum sedangkan kesalahan diri tak nampak. Kuman diseberang laut nampak tapi gajah depan mata tak nampak, begitulah pepatah melayu. 

Kata Abuya: 
"Begitulah manusia jika tersalah didik dari kecilnya. Soal-soal roh atau hati yang ada hubungan dengan mahmudah dan mazmumah tidak pernah dia kenal. Kalau pun dia di ajar tentang Islam hanya banyak menekankan syariat lahir semata-mata." 

e. Banyakkanlah berselawat kepada Rasulullah saw. Selawat yang dihayati adalah perhubungan roh kepada Nabi. Setiap selawat kita akan dijawab oleh baginda Nabi. Perintah selawat ini ada dalam Al-Quran: 

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
Al-Ahzab: 56


f. Banyakkan menghadiahkan Al-Fatehah kepada mereka yang telah banyak kita melakukan kesalahan dan kezaliman. Bacaan Al-Fatehah yang dihayati adalah hadiah yang sangat berharga dari roh kita untuk roh orang-orang yang kita zalimi sebagai tebusan dosa kita. 

Begitulah cara-cara mengaktifkan dan mensucikan roh supaya dapat dipimpin oleh Rasul dan auliya untuk dapat terhubung dan tidak putus dengan Tuhan.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?