ABID DAN PEJUANG

"Tuhan akan timpakan kehinaan dan kecelakaan dimana pun kamu berada. Kecuali mereka yang dapat lakukan hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia". 
Al-Imran: 112

Kita orang Islam, cuba kita ingatkan semula dari waktu kita baligh, waktu itu kita belajar tentang fardhu ain dan hukum hakam. Sampai sekarang pun kalau kita mengaji tentang ibadah, masih tentang perkara yang sama, cerita yang sama.

Ibaratnya,  kita masuk sekolah, tahun pertama darjah satu, tahun kedua pelajaran darjah satu, sampai sepuluh tahun pun pelajaran darjah satu. Sepatutnya kalau 10 tahun, 'silibus'nya darjah 10.

Dalam sistem biasa, kalau 10 tahun kita belajar, kita sudah di darjah 10, ini umumnya orang awam belajar. Tapi mengaji Islam di masjid, bertahun-tahun pun hanya peringkat itu sahaja. Peringkat awal mengaji yang asas, tahun-tahun berikutnya mengapa masih cerita yang sama?!


Yang sebenarnya sejak kejatuhan Islam 700 tahun lalu, bukan saja kuasa yang jatuh, tapi ilmu dan cara belajar pun telah jatuh sejatuhnya. Jadi tak pernahlah kita belajar bab-bab dalam Islam itu sampai selesai. Sekalipun tentang rukun Iman dan rukun Islam, tak pernah habis mengaji.

Macam kita belajar sifat 20. Yang asas itu hanya untuk bezakan antara orang kafir dan Islam. Itu baru darjah satu. Mana cukup? Kena ada darjah 2, darjah 3 dan seterusnya. Bila sampai peringkat tinggi barulah akal kita akan jumpa ilmu tentang rasa hamba dan rasa bertuhan. Macamana yang dikatakan Tuhan itu berkuasa sampai kita hayati. Begitulah ilmu Islam yang selanjutnya. 

Ertinya, macamana kita nak faham tentang abid dan pejuang? Kita mengaji tentang ibadah, asyik mengaji darjah satu saja. Mana kita nak tahu yang seni-seni. Sebab itu banyak kali belajar hal ibadah fardhu ain, tahu yang itu sahaja yakni syarat sah batal. Itu tahap darjah satu. Takrif ibadah yang  sekadar untuk tidak batal syarat rukun. Kalau sekadar itu, macam buat bangunan, ada atap, ada dinding ada tiang cukup. Kalau kita buat rumah besar, tapi hanya ada atap, dinding dan tiang. Kita ajak keluarga tinggal di dalamnya tentu tak semua tak mahu. Maksudnya kalau ibadah itu sekadar mempertahankan syarat rukun, tanpa membuahkan hasil, ia tiada erti apa-apa. Hanya sekadarkan tak lari dari nama ibadah, tapi roh ibadahnya tiada. Macam rumah tadi tetap dipanggil rumah tetapi banyak kekurangan dan tak boleh nak diduduki.

Pernahkah kita diajar ilmu sains demikian? Kalau kita belajar sains, tahun pertama belajar bab katak, nyamuk, tahun kedua itu juga, tahun 4 pun begitu juga. Boleh ke buat kapal terbang atau jadi pakar sains? Islam lebih dalam ilmunya tetapi mengapa asyik belajar yang darjah satu? Mengapa?

Ibadah itu kalau kita hayati, boleh buang mazmumah. Ibadah juga dapat pahala iaitu ibadah yang dihayati dan ada buahnya. Setiap kali kita bangunkan ibadah samaada ibadah bentuk Hablumminallah ( حبل من الله ) atau ibadah Hablumminannas  ( حبل من الناس ), maka selepas itu akan terbela Allah dan Rasul saw. Ertinya akan terbangun apa yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul saw. Baik terbangun rohaniah atau maddiahnya.Terbangun rohaniahnya ialah dapat menahan diri dari berperasaan yang negatif, buang hasad dengki, marah, cinta dunia, rasa dendam, tak mahu maafkan orang. Kesemuanya dibuang.

Terbangun maddiahnya ialah sistem hidup Rasulullah saw itu dapat dihidupkan semula. Terbangunlah keluarga Islam, jemaah Islam,  ekonomi Islam, kebudayaan Islam, daulah Islam hingga empayar Islam. Itulah hakikat ibadah sebenar. Ada rohaniah ada lahiriah. Ada ada urusan habluminallah ada habluminannas. Ibadah Islam melahirkan manusia yang ada watak abid ada watak pejuang.

Rangsangan nafsu itu ditahan. Kita rasa nak bertindak balas ke atas orang yang kita benci, tetapi kita tahan. Nak melihat benda yang negatif, kita tahan. Tahan dari berfikir yang negatif.

Ibadah yang dihayati akan menjadi pendorong / pemangkin mujahadah melawan hawa nafsu kerana ibadah itu akan membuahkan atau menimbulkan keinsafan, kesedaran, rasa timbang rasa, rasa lemah dan rasa hamba seorang hamba Allah. Orang yang benar-benar beribadah dapat membela golongan susah dan miskin.

Tanpa ibadah yang tak membuahkan hasil, orang susah teruslah susah tanpa pembelaan. Buruh-buruh terus letih sampai bila-bila tanpa keperihatinan bos-bos mereka.

Tetapi bagi ibadah yang membuahkan hasil, akan melahirkan rasa-rasa hamba di dalam peribadi pemiliknya. Bilamana rasa-rasa itu menguasai diri, seseorang pasti akan membunuh nafsu-nafsu yang suka kepada kejahatan dan melanggar perintah Tuhan seperti rasa tamak, dan sombong orang kaya terhadap orang miskin.

Sembahyang yang khusyuk adalah rahsia kemenangan. Kemenangan seseorang terhadap musuh utama dalam hidupnya iaitu  nafsu dan syaitan. Sembahyang itu adalah sebesar-besar atau seagung-agung projek atau ibadah yang menjamin kekayaan manusia paling utama. Yakni sembahyang dapat membina dan menebalkan rasa-rasa yang amat diperlukan oleh seseorang hamba yakni rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Rasa yang mampu menghalau dan memusnahkan nafsu yang jahat yang menjadikan manusia paling berguna pada manusia yang lain.

Kalau  bukan sembahyang apakah langkah lain untuk manusia memperolehi modal-modal hidup rohaniah yang amat diperlukan itu?

Baca Quran yang dijiwai sesungguhnya akan menemukan khabar gembira, ada amaran, suri teladan, kesedaran dan keinsafan. Pemikiran yang agung, global dan praktikal hanya oleh Al Quran.

Membacanya, ertinya membangunkan suatu pemangkin yang cukup kuat untuk mengalahkan nafsu dan pengaruh syaitan dalam diri manusia. Bila nafsu kehaiwanan dapat dikalahkan, manusia akan mendapatkan kemanusiaannya semula. Masyarakat kita akan berwibawa semula! Ibadah tambahan lainnya akan jadi ringan untuk dilaksanakan dan akan membuahkan akhlak yang luar biasa.

Allah SWT memerintahkan ibadah dan menyembah-Nya adalah semata-mata untuk bertaqwa kepada-Nya. Yakni dengan melakukan overhaul dan baik pulih kepada jiwa, fikiran dan fizikal. Secara umum hanya sedikit manusia yang berjaya tapi ramai yang gagal.

Sepatutnya bila selesai sahaja bulan melakukan amal ibadah sepatutnya ramailah orang yang bersedih kerana tidak lulus periksa. Sedih sebab sombongnya masih di size XL. Pemarahnya tak kurang-kurang, kedekut menjadi-jadi, hasad dengki terus bermaharajalela, gila dunia, buruk sangka, berbangga diri, salah guna kuasa, dendam, lalai dengan Allah, cuai dengan sunnah dan lain-lain terus merajai hati.

Ertinya dia akan terus menderhakai Allah dengan segala perangai buruknya.  Sedihnya hati, kemanusiaan punah, nafsu beraja di hati, di fikiran dan fizikal.

Ibadah yang membuahkan hasil, melahirkan hamba berwatak pejuang. Membangunkan sesuatu untuk agamanya. Menjadi pembela kepada manusia, walau pun dia sendiri perlukan pembelaan. Lihatlah Saiyyidina Ali, walau pun dia daripada kalangan sahabat yang miskin hartanya, tetapi sejarah mencatat dialah paling banyak bersedekah dan membela anak-anak yatim dan janda-janda. Inilah bukti peribadi yang ibadahnya membuahkan hasil.

Adalah menjadi satu kesalahan besar bila merasakan lega selepas dapat melakukan amal ibadah. Bagi orang-orang yang gagal membuahkan hasil selepas melakukan amal ibadah, hanya menambah jahat sahaja hatinya. Ibadahnya ibarat bangkai disisi Tuhan, ia musnah sama sekali. Macam orang sakit tersalah makan ubat, akibatnya bukannya sembuh tapi sakit bertambah. Ubat itu mendatangkan penyakit lagi.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?