Bagaimana Mahu Menghijrahkan Hati Kepada Allah dan Rasul?


Rasul dan sahabat diuji dengan hijrah, kerana keadaan sudah terlalu bahaya. Semua sahabat diminta berhijrah kerana Allah, namun ada juga segelintir yang berhijrah kerana sebab-sebab lain. Ini baginda sendiri sebutkan dalam hadisnya:


مَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى مَالٍ يَأْخُذُهُ أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ 



❝ Barangsiapa niat berhijrah kerana Allah dan Rasul maka dia berhijrah mendapat Allah dan Rasul, barang siapa berhijrah untuk mendapatkan perempuan maka dia akan dapat mengahwininya dan barangsiapa berhijrah untuk mendapat dunia maka dia akan memperolehinya maka dinilai hijrah seseorang itu berdasarkan niat hijrahnya.❞


Untuk mendapatkan Allah, kita perlu di proses begitu. Kebahagiaan hidup bukan dinilai dengan ada suami, isteri dan anak-anak di dunia. Di syurga nanti, kita akan bersama dengan orang kesayangan jika sama-sama bertaqwa.

Untuk menjadi orang mukmin, kita diminta untuk menunggu hari kematian dan bersedia untuknya; dengan harapan janganlah mati kafir, wali'yazubillah. Sahabat Nabi; Khalid bin Walid yang ketika sakitnya, ditawarkan untuk mati syahid di medan perang, tapi menolak kerana bimbang dalam perjalanan dia mati kafir. Biarlah tidak mati syahid, mati di atas katil pun tidak mengapa, yang penting biarlah mati dalam keadaan beriman.

❝ Ada sahabat yang mati kafir di medan perang, kerana tidak tahan dengan sakit. Allah boleh buat apa sahaja, walaupun beramal dengan amalan syurga tapi di hari kematian boleh sahaja tergelincir. ❞

Itulah proses yang sedang kita alami, ujian demi ujian untuk buatkan kita menyerah diri kepada Allah.

Rasul duduk di dalam gua Tsur selama tiga hari bersama Abu Bakar. Siti Asma yang berperanan untuk menghantar makanan kepada mereka, yang ketika itu baginda dan bapanya mahu berhijrah. Begitulah penderitaan yang ditanggung oleh Rasul dan para sahabat. Kita ikut sama merasai penderitaan dan perjalanan yang dirasai oleh Rasul dan Sahabat.

Selama tiga belas tahun Rasullullah di Mekah, baginda telah dapatkan ramai pengikut. Pihak musuh sangat tidak senang hati dengannya. Rasul dan para Sahabat mencapai kemuncak iman di Mekah, maka datanglah kemuncak ujian. Ibarat siangnya para sahabat bergembira dengan bilangan umat Islam yang bertambah, tiba-tiba didatangkan dengan ujian di malamnya (Hijrah). Tapi rupanya ujian hijrah untuk mendapat kemenangan yang lebih besar; terbinanya daulah di Madinah (model kehidupan Islam).

Berlaku pada jemaah Abuya, bila berakhirnya Dzulhijjah dan datanglah bulan Muharram iaitu bulan kemenangan. Serbuan JAIS mencetuskan suasana yang memenangkan jemaah, ada orang-orang yang menyatakan sokongan mereka. Begitulah contoh-contoh peristiwa yang berlaku memberikan kemenangan kepada kebenaran.

Dapatkanlah roh hijrah itu; hadapi kesusahan dengan redho untuk menagih kemenangan dari Tuhan. Kerana memang itu sudah menjadi sifir atau sunnah orang berjuang. Hijrah pula seolah-olah menjadi syarat kemenangan. Perhatikan firman Allah:


وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Dan orang-orang terdahulu dan yang terawal daripada Muhajirin dan Ansar, dan yang mengikut jejak mereka (meniru dan meyalin) dengan kebaikan (iman dan taat), Allah akan redha kepada mereka dan mereka pula redha kepada Allah, serta Dia (Allah) menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka itu kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang agung.” 
Surah At-Taubah: 100

Rupanya Allah mengiktiraf Assabiqunal Awwalun, iaitu ahlinya ialah Muhajirin dan Ansar. 'Muhajirin' disebut Allah dahulu, iaitu orang yang sanggup susah payah berhijrah tinggalkan dunia dengan niat yang satu, untuk dapatkan Allah dan Rasul. Kemudian kaum Ansar, yakni orang yang membantu orang berhijrah. Tiadalah Ansar sekiranya Muhajirin tiada. Besarnya peranan hijrah itu.

Bila Abuya di hati seratus peratus, maka khauf (rasa takut) itu boleh berbunga (berhasil). Hidup kena sentiasa berusaha untuk dekat dengan Allah. Bila ditambah dengan rasa-rasa hamba, maka akan dibuka hijab akhirnya.

Rasa hamba itu didapati dari kesusahan. Rasa hamba dapat mencabut mazmumah (sifat terkeji) yang ada di dalam diri kita, hingga akhirnya kita hanya hendakkan Allah sahaja.

Maka dalam hijrah itulah kita dapat kesusahan; berpisah dengan keluarga, sentiasa pindah randah, diuji dengan keadaan yang tidak menentu dipelbagai sudut; ini semua membuatkan hati sentiasa merintih dan terikat dengan Allah. 

Dunia Islam telah gempar tentang makam Rasul yang nak dirobohkan. Tiada siapa yang boleh selamatkan melainkan datangnya pemimpin yg dijanjikan Tuhan, iaitu Imam Mahdi. Marilah kita mengukur hati kita; Apakah perasaan yang berada di hati kita bila mendengar dan mengetahui tentang makam baginda s.a.w. yang mahu dirobohkan? 

Di sini pun boleh kita nilai status diri kita; adakah telah berhijrah kepada Allah ataupun tidak.


Sepatutnya kita rasa terdorong untuk ikut sama menyelamatkannya. Lebih-lebih lagi Rasulullah SAW sudah menjamin kemenangan Imam Mahdi itu. Kita serius menyiapkan diri, moga-moga tersenarai dalam saf-saf Imam Mahdi. Persiapan membangun tapak Imam Mahdi di Haramain, berhijrah ke Mekah dan Madinah untuk mendapatkan Allah dan Rasul.

Bagi yang telah berhijrah, boleh kita nilai apakah telah berhijrah kepada Allah dan Rasul ataupun tidak. Bagi yang belum berhijrah, boleh kita nilai apakah roh hijrah itu sudah kita hayati? 

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?