Ajaibnya Abuya: Memantau Roh Muridnya Dengan Sakit

Rekod bacaan darah saya (Syeikh Fakhrur Razi).

"Nampaknya tekanan darah ni, swinging, tapi agak kuat. Bila tinggi, tinggi sungguh. Terpaksa makan ubat. Bila Sy Fakhrur makan, blood pressure akan turun rendah sangat, hingga terpaksa berhenti makan ubat. Saya pun terkeliru, tak terkata. Seolah-olah ada maksud tersirat dari Tuhan. Cuma bila tinggi macam ni, Sy Fakhrur ambillah ubat Coveram tu setengah biji sahaja" kata Sy Dr. Rahim.

"Bila Sy Dr Rahim respon begini, saya teringat Abuya bawa saya ke klinik ketika sakit di usia sekolah rendah, maka berlaku dialog antara doktor yang rawat saya dengan Abuya", ujar saya.

"Menarik! Syeikh ceritalah, agar jadi panduan". Kata Sy Dr Abd Rahim supaya saya teruskan perkongsian tersebut.

Doktor yang rawat saya berkata pada Abuya, "Anak awak ni tak panjang umur dengan keadaan sakit kroniknya ini". Sepanjang perjalanan pulang dari klinik tersebut Abuya merintih dengan Tuhan tak henti-henti dan Abuya buat doa khas untuk saya.

Berbekalkan doa dan rintihan tersebut maka taqdir hidup bertukar bukan sahaja panjang umur tapi sudah mempunyai ramai anak. Setakat ini, Alhamdulillah ada 25 orang. Ini mengingatkan kita pesanan Rasul SAW dalam hadisnya "Doa boleh merubah taqdir". Ertinya apa yang tercatit di Loh Mahfuz, Tuhan boleh arahkan malaikat yang jaga Loh Mahfuz untuk memadam dan merubahnya.

"First time dengar cerita ini. Memang menarik", kata Sy Dr. Abdur Rahim.
Kalau begitu, pastinya apa sahaja yang berlaku pada diri anak murid seorang mursyid adalah dalam pantauannya. Kerana Abuya nak pastikan hati kita tak terputus langsung dengan Allah, Rasulullah, Imamul Mahdi dan Pemuda Bani Tamim.
Rupanya dengan sakit itulah Abuya pantau roh anak muridnya. Apa yang berlaku pada diri saya, berlaku juga kepada hampir semua BOD Abuya. Ada yang sakit kencing manis, darah tinggi, angin ahmar, gout, ketumbuhan, angin pasang (hernia), dan lain-lain. Ada yang ulang-alik hospital untuk dialisis, ada yang mengusung tong oksigen, dan lain-lain. 

Kalau mengikut kata doktor, teruknya sakit-sakit mereka itu patut dah mati. Tapi peliknya mereka tetap dapat mengikuti, mendokong, meyakini dan menghayati perjuangan. Bahkan melihatkan kepada hasil perjuangan yang diamanahkan pada mereka, nampak seperti mereka berjuang lebih laju, walaupun fizikalnya terbaring sakit, tak buat apapun. Perpaduan di kalangan anak buah yang dipimpinnya makin solid. Bila mereka berkongsi rasa, anak buah dapat kekuatan. 
Rupanya itulah cara mursyid menyelamatkan anak muridnya dari syirik khafi, iaitu rasa berbuat dan rasa memiliki. Yang sakit rasa dah tak mampu berbuat apa-apa, yang sihat terdorong untuk semakin gigih berjuang dan merasakan kejayaan itu berkat mereka yang sakit.

Abuya selamatkan murid-muridnya dari syirik khafi yang amat berbahaya. Allah berfirman:  
“Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadatnya.”
(Surah al-Kahfi, ayat 110)

Maksud syirik di dalam beramal seperti dalam ayat itu ialah riak iaitu rasa berbuat dan rasa memiliki amalan itu. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: " Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah?" Baginda s.a.w menjawab: "( Syirik yangkecil itu) ialah riak - Allah Taala akan berfirman pada hari Kiamat apabila manusia datang dengan amal masing- masing: "Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan riak di dunia dahulu untuk menunjukan kepada mereka), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?"
(Hadis riwayat Mahmud bin Labid)

Keadaan saya; kalau tekanan darah tinggi, akan pening-pening hingga pitam. Bila turun, rendah sangat, pun pitam juga. Keadaan diri tak boleh menggembirakan. Jadi ubatnya, apa pun yang terjadi pada diri saya, adalah kerana Tuhan suka hamba-Nya bermanja-manja dengan-Nya, mengadu pada-Nya, meminta dan merintih pada Dia. Bukanlah ubat yang memberi bekas, cuma kita berubat atas perintah syariat Islam.

Tuhan bagi peluang untuk hamba-Nya mendapat pahala kerana laksanakan syariat yang diperintahkan ke atasnya. Begitulah Abuya mendidik kita untuk mendapatkan Tuhan sekali pun ketika sakit. Berubat perlu diusahakan, tetapi bukanlah ubat yang memberi kesan.

Akhirnya, apa yang berlaku ialah; bila sakit pun dapat Allah, sihat pun dapat Allah, apa-apa keadaan pun tetaplah hati mendapatkan Allah. Inilah yang dihairankan oleh Malaikat kepada hamba Allah, apa pun yang dilakukan ke atasnya dia tetap mendapat Tuhan.

Sehingga malaikat berkata kepada Tuhan, "Hamba Mu ini, Engkau susahkan tetap dia dapat Engkau; iaitu dia redha. Engkau kayakan dia tetap dapat Engkau; iaitu dia bersyukur. Begitulah apa pun yang Engkau lakukan pada hamba itu, tetap hamba tersebut mendapat Engkau".

Sesungguhnya, yang perlu dicelikkan demi mencari dan mendapatkan Tuhan dan kebenaran di akhir zaman, adalah mata hati atau roh yang aktif! Hati atau roh telah kenal Tuhan ia datang dari Tuhan. Allah berfirman:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَىٰ شَهِدْنَا أَن تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
Al-A'raf: 172
Begitulah hati yang mendapatkan hakikat dirinya. Sebagaimana yang Tuhan gambarkan dalam Al-Quran, asalnya hati atau roh itu sangatlah kenal kepada Tuhannya. Cuma bila dihantar ke dunia untuk mengujinya, barulah tahu bagaimana tingkatannya di sisi Tuhannya. Tetapi begitulah, hakikat roh atau hati manusia. Asalnya baik, dan jika pandai ia terima apa-apa sahaja yang dilakukan Tuhan kepadanya, maka ia akan jadi seperti asalnya, hati yang bersih dari noda dan dosa, selamat dan menyelamatkan.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?