Membina Bani Menguatkan Islam
Allah mengingatkan dalam Al-Quran, supaya kita mengatur diri dan keluarga sesuai dengan kehendak Tuhan.
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".(At-Tahriim: 6)
Mengapa Abuya minta kita telus dalam hal keluarga iaitu diminta menyerahkan pada jemaah ialah kerana Abuya hendak mempastikan kehidupan mereka diatur secara Islam dalam semua aspek. Hal pertama dan utama ialah urusan ibadah yang asas iaitu sembahyang.
"Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa".(Thaha: 132)
Nak disiplinkan sembahyang pada diri sendiri pun payah, betapalah nak disiplinkan keluarga. Tanpa menyerahkan pada jemaah kita tak mampu untuk membawa cara Islam yang syumul dalam keluarga. Hanya dengan jemaah sahaja dapat melakukannya, sebagaimana panduan dari Rasulullah saw:
عليكم بالجماعة الجماعة رحمة والفرقة عذاب
Ertinya: wajib kamu berjemaah, jemaah itu rahmat dan berpecah belah itu azab.
Di antara sebab belum memiliki hati yang solid kepada mursyid ialah tidak telus dalam hal keluarga. Ertinya hidup dua alam; semasa dalam jemaah hidup cara Islam bila balik ke pangkuan keluarga hidup cara lain pula. Ini juga termasuk yang dikatakan "depan lain dan di belakang lain". Sedangkan dalam sembahyang kita berikrar kepada Tuhan :
إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين
Ertinya : sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Tuhan yang memiliki sekelian alam.
Begitulah kita berjanji kepada Tuhan menyerahkan segala-segalanya hanya untuk Tuhan iaitu bersedia diatur dan dicatur sebagaimana yang telah diikrarkan kepada Tuhan.
Dalam jemaah keluarga dibina untuk menguatkan jemaah bukan memperalatkan jemaah untuk kepentingan keluarga. Menyerahkan anak isteri dan keluarga untuk diatur oleh jemaah. Ini yang dimaksudkan telus dengan mursyid dalam hal keluarga.
Satu ketika dulu Abuya pernah melancarkan bani-bani di kalangan BOD. Yang dimaksudkan bani di sini ialah keluarga besar, sebab itu siapa yang belum poligami Abuya tak isytiharkan sebagai bani. Yang belum berpoligami kena bergabung kepada yang dah poligami untuk menjadi ahli bani. Pelancaran tersebut dibuat penghujung program era power di Nilai, Negeri Sembilan. Dilancarkan bani-bani dengan diberikan assignment menyusun atur keluarga supaya dibawa kepada mursyid untuk mempastikan berlakunya keluarga besar yang diperjuangkan oleh Abuya.
Ada beberapa sikap dan tindakan berkaitan keluarga dalam jemaah:
1. Tak serahkan anak isteri kepada jemaah kerana tak mampu bertegas kepada keluarga. Apakah kita boleh dikatakan berlurus hati dengan mursyid tanpa bukti? Bolehkah dikatakan telus dalam perjuangan sedangkan orang yang tersayang atau paling dekat dengan kita pun tak dapat diserahkan kepada RSA?
2. Menyerahkan anak-anak kepada jemaah tapi bila sudah baik diambil semula untuk bangunkan projek untuk kepentingan diri.
3. Anak atau isteri yang bermasaalah diserahkan kepada jemaah sedangkan yang baik tak diserahkan sebab membantu projek peribadi. Jelas sikap begini hanya pentingkan diri. Sepatutnya kita memberi kekuatan kepada jemaah untuk menguatkan Islam.
4. Ada juga yang nampak lahirnya dah bawa anak isteri fulltime dengan jemaah. Semua sudah aktif berjuang dalam projek-projek jemaah, ikut disiplin jemaah. Namun, bila balik rumah, disiplin jemaah itu tak dapat dikekalkan; sembahyang jemaah, makan berjemaah, susun kasut, sembang-sembang perjuangan, dan lain-lain tidak dijadikan budaya di rumah. Seolah-olah perjuangan Islam itu hanya dalam jemaah di luar rumah.
Mari kita contohi Abuya bagaimana membina keluarga untuk menguatkan jemaah. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebear-besar perkara pada keluarganya dijemaahkan. Sesiapa dalam keluarga yang tak mahu dibawa kepada Islam, maka Abuya bertegas walaupun pahit. Abuya sanggup isytihar musuh kepada isteri pertamanya dan mampu memahamkan seluruh keluarga dan jemaahnya atas tindakannya itu, hingga anak-anak dari isteri tersebut mendokong Abuya.
Sesungguhnya yang perlu dicelikkan atau yang perlu diaktifkan demi mencari kebenaran di akhir zaman, adalah mata hati atau roh yang aktif ! Hati atau roh telah lama kenal Tuhan kerana dia datang dari Tuhan. Roh atau hati tahu di mana nilai kebenaran. Sebab itu apa yang paling utama Abuya lakukan ialah membina roh keluarganya. Bila ada anak yang belum serius dalam perjuangan, Abuya sangat bimbang. Siang malam mendoakannya, ajak isteri-isteri mendoakan anak itu:
"Macamana ni, anak kita ni belum dapat hidayah".
Waktu kecil, saya pernah dibawa oleh Abuya bertemu kawan-kawannya di Masjid Pakistan (Chow Kit, Kuala Lumpur). Ada seorang ulama kasyaf dari utara, seorang lagi dari selatan. Antara keramat wali dari Selatan itu, dia tak pernah isi minyak pada keretanya. Dia masuk petrol station, bagi isyarat isi minyak, lepas itu dia pergi, tapi minyak keretanya penuh. Nama ulama kasyaf ini Tuan Guru Haji Wahid Melaka. Dua orang ulama ini scan diri saya dan beritahu Abuya,
"Anak Ustaz ni begian-begian .." Mereka bacakan mazmumah-mazmumah saya pada Abuya.
Ketika dalam perjalanan balik dari masjid itu, Abuya cakap,
"Kamu dah dengar sendiri apa kata orang-orang kasyaf tu. Kalau ayah cakap kamu tak percaya, tapi ini cakap orang yang tak kenal kamu. Allah beritahu mereka tentang kamu. Sekarang kamu renungkanlah, kamu nak berubah atau tidak".
Begitulah seriusnya Abuya dalam mendidik roh keluarganya. Macam-macam kaedah digunakan, bawa jumpa kawan, bagi amaran, beri hukuman, doakan, beri kesusahan dan lain-lain perkara supaya mereka boleh dapat Allah dan Rasul.
Sudahkah kita buat begitu kepada keluarga kita?